KUALA LUMPUR – Empat lelaki ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan selepas memandu kereta dengan melawan arus di kawasan Lebuh Raya Kesas lewat malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, kelibat dua pemandu yang pertama kelihatan pada jam 11.20 malam apabila keluar dari R&R Awan Besar secara melawan arus, kemudian memberhentikan kenderaan secara selari dan memecut laju dari KM47.8 hingga KM47.7.
Kedua-dua lelaki itu kemudian telah melawan arus di susur R&R dan menghala semula di KM 47.8 serta melakukan aksi yang sama sebanyak tiga pusingan.
Katanya, lebih kurang jam 11.50 malam, datang lagi dua kereta lain juga turut melakukan aksi yang sama sebanyak dua pusingan.
Kira-kira 12.30 malam, keempat-empat lelaki itu telah memberhentikan kereta dalam keadaan baik dan selamat di kawasan parkir RNR Awan Besar Lebuh Raya Kesas arah ke Klang.
Serentak itu, polis menghampiri kesemua suspek dan menahan mereka.
Sementara itu, dalam operasiĀ di Lebuh Raya Grand Saga, polis telah mengekori tiga penunggang motosikal yang melakukan aksi superman, zig-zag, bersaing sesama sendiri dan menundukkan badan bermula dari KM 20 sehingga di KM 16 lebuh raya itu ke arah Kuala Lumpur.
Kejadian itu berlaku pada jam 12.05 malam.
Kemudian kesemua lelaki itu membuat pusingan di susur Cheras Perdana dan menghala semula ke arah Kajang Lebuh Raya Grand Saga dengan melakukan aksi tunggangan secara berbahaya yang sama bermula dari KM 16 sehingga di KM 20 lebuh raya itu dan mengulanginya sebanyak satu pusingan.
Kira-kira jam 12.20 malam, ketiga-tiga suspek telah memberhentikan motosikal masing-masing di hadapan sebuah rumah di Taman Bukit Mewah, Kajang, Selangor lalu tangkapan dilakukan.
Dalam kejadian berasingan di Lebuh Raya Persekutuan, lima penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya dari KM 14.5 sehingga di KM 8.8 arah ke Klang diintip oleh pasukan polis.
Kelima-lima mereka ini ditahan di hadapan rumah di Jalan Bukit Kuda Kampung Kuantan, Klang.
Kesemua mereka di bawah Seksyen 28A, Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette