Home Nasional Bekalan air pulih 18 jam lebih awal – MB

Bekalan air pulih 18 jam lebih awal – MB

Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Bekalan air di 463 kawasan yang terjejas berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih akibat pencemaran pulih dalam tempoh 18 jam lebih awal dari sasaran.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau dimaklumkan peratus pemulihan bekalan air akibat gangguan tidak berjadual itu telah mencecah 100 peratus.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa peratus pemulihan bekalan air akibat gangguan tidak berjadual yang berpunca dari pencemaran telah mencecah 100 peratus.

“Bekalan air telah pulih sepenuhnya 18 jam lebih awal dari sasaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu hari ini, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan bekalan air di lima wilayah iaitu Kuala Langat, Sepang, Putrajaya, Hulu Langat dan Petaling pulih sepenuhnya tengahari tadi.

Kelmarin, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah itu mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Bagaimanapun, tindakan segera agensi negeri berjaya menyelesaikan insiden tersebut dalam tempoh kurang 12 jam antaranya meletakkan 14 beg serbuk karbon teraktif bagi mengawal pencemaran.

Terdahulu, sebuah kilang berasaskan makanan di Beranang diarah menghentikan operasi selama dua minggu bermula semalam, kerana disyaki punca Sungai Semenyih tercemar.

Jabatan Alam Sekitar Selangor turut membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik kilang yang disyaki menyebabkan LRA Sungai Semenyih dihenti tugas pada 31 Ogos. – MalaysiaGazette