Home Pendapat Sukarelawan PPV: Berjasa kepada negara

Sukarelawan PPV: Berjasa kepada negara

Dewan Tuanku Canselor USIM telah dipilih sebagai PPV Mega.

MALAYSIA merupakan antara negara yang merekodkan kadar pemvaksinan terpantas di dunia dan menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin, sehingga ke hari pertama bulan September (1 September 2021) sebanyak 65.1 peratus rakyat Malaysia telah menerima dos lengkap vaksin. Dalam menangani penularan Covid-19 yang melanda negara kini, pelbagai pihak dilihat berganding bahu menyumbang tenaga dan masa menjadi sukarelawan membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik ini.

Para sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) patut dihargai dan diberikan pujian kerana telah bertungkus lumus dalam memastikan Malaysia mencapai imuniti
kelompok seperti yang telah dirancangkan. Penulis utama artikel ini berkongsi
pengalamannya sendiri yang telah bertugas sebagai salah seorang sukarelawan.

Pengalaman berharga sebagai seorang sukarelawan

Saya adalah salah seorang sukarelawan di PPV Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Secara peribadi, saya amat kagum melihat semangat yang ditunjukkan oleh para sukarelawan lebih lagi kepada mereka yang perlu hadir bertugas setiap hari. Tidak tahu dari mana mereka mendapat tenaga untuk terus memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik setiap hari kepada hampir 1,000 penerima vaksin yang hadir.

Sukarelawan PPV USM adalah dari kalangan staf dan pelajar USM sendiri yang sanggup bertugas dari pukul 7.30 pagi sehingga lewat petang. Staf yang menjadi sukarelawan adalah daripada pelbagai bidang medikal dan bukan medikal. Apabila kami bertugas bersama, pangkat dan jawatan sudah tidak menjadi pemisah untuk kami bersatu dan berkerjasama untuk melancarkan operasi di PPV. Semua petugas yang hadir kelihatan bersemangat dan tidak pernah menunjukkan reaksi kepenatan. Semuanya bersungguh-sungguh untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk memastikan semua urusan penerima vaksin dipermudahkan.

Pada awal penubuhan PPV USM, saya mula bertugas di stesen dua iaitu kaunter pendaftaran. Skop tugas saya adalah untuk membuat pengesahan nama dan nombor telefon serta memastikan nama yang terpapar dalam sistem MyVAS adalah tepat. Nama adalah sangat penting mengikut kad pengenalan atau passport dan nombor telefon juga perlulah mengunakan nombor yang sama untuk senang dihubungi pihak PPV. Adakalanya, saya bertugas di bahagian pandu lalu PPV yang lebih tertumpu kepada sistem pendaftaran sebelum dan selepas penerima vaksin disuntik. Sudah tentu saya amat teruja memandangkan PPV USM pandu lalu merupakan pemberian vaksin secara pandu lalu yang pertama diadakan di negeri Pulau Pinang.

Perasaan yang bercampur baur

Pengalaman hari pertama bertugas di PPV amat memenatkan memandangkan skop kerja hakiki sebagai guru bahasa amat berbeza. Selama ini, sepanjang bekerja dari rumah menjalankan pengajaran secara dalam talian, saya hanya duduk mengadap komputer riba sahaja berjam-jam lamanya. Sedangkan di PPV, saya perlu berkomunikasi dengan orang awam dan melayan setiap pertanyaan mereka tanpa henti.

Seharian di PPV membuatkan saya lebih terdedah dengan kemungkinan terkena jangkitan. Risau kesan jangkitan kepada anak-anak yang masih kecil dan keluarga terdekat oleh kerana saya masih belum mendapat suntikan dos pertama pada bulan
pertama bertugas. Namun kerisauan itu segera saya tepis kerana jauh di sudut hati,
perasaan sedih lebih tinggi mengatasi segalanya apabila melihat statistik harian kes
baru yang positif semakin meningkat. Saya nekadkan hati untuk terus bertugas di
PPV dengan harapan agar saya dapat membantu usaha murni negara.

Suatu perkara yang saya sedar adalah bertugas di PPV sebenarnya satu pengalaman yang menimbulkan keterujaan dan keseronokan. Selain itu, saya dapat meningkatkan kemahiran komunikasi saya apabila berurusan dengan pelanggan yang datang dari pelbagai profesion, peringkat umur, bangsa, agama, pelbagai ragam dan kerenah. Bertugas di PPV juga telah memberi peluang kepada saya bertemu rakan sepejabat dan rakan USM yang lain. Secara tidak langsung, sedikit sebanyak ia telah memberikan aura positif terhadap emosi saya setelah sekian lama hanya berhubung secara maya.

Peristiwa yang tidak dapat dilupakan

Peristiwa yang agak mencuit hati yang saya lalui adalah ramai yang menyangka petugas di kaunter pendaftaran ialah doktor perubatan. Ini mungkin kerana kami memakai double mask, face shield dan gloves. Mereka menunjukkan kepada kami segala ubat-ubatan yang mereka ambil. Kami akan sentiasa mengingatkan mereka untuk merujuk doktor yang bertauliah di stesen tiga (konsultasi) jika ada keraguan dan kerisauan.

Peristiwa sedih juga saya alami sendiri apabila masih ramai yang memilih-milih jenis
vaksin untuk diambil. Sebolehnya kita perlu mengambil apa sahaja vaksin yang diberikan oleh pusat PPV tanpa perlu memilih atau jika masih ada keraguan, boleh terus  mendapatkan nasihat doktor. Berpeganglah pada pepatah “mencegah lebih baik dari mengubati”. Setiap jenis vaksin telah diuji keberkesanannya untuk melawan virus yang telah membunuh jutaan penduduk di seluruh pelusuk dunia ini.

Peristiwa mendebarkan pula adalah setiap kali ketika jadual bertugas di PPV dikeluarkan, para sukarelawan akan berebut untuk mengisi nama dalam slot jadual yang disediakan mengikut tarikh, hari dan masa yang bersesuaian tanpa menjejaskan kerja hakiki. Kebiasaannya kurang setengah jam, jadual tugasan selama seminggu telah pun penuh diisi.

Para sukarelawan tidak pernah dijanjikan sebarang ganjaran termasuk diberikan apa-apa elaun. Namun begitu, kami disediakan hidangan sarapan pagi, tengahari dan minum petang dan ia sudah cukup memadai bagi kami. Banyak pihak yang turut memberikan tajaan sumbangan berbentuk makanan dan minuman kepada petugas-petugas di PPV. Pernah suatu hari ketika saya bertugas, kami amat seronok kerana dapat menikmati ais krim dan teh tarik yang sedap.

Harapan

Sekiranya ada yang menanam minat untuk menjadi sukarelawan di PPV, anda semua perlu bersedia fizikal dan mental. Melakukan kerja-kerja sukarela memerlukan kesabaran, semangat yang kental dan ikhlaskan hati. Tetapkan niat baik anda untuk terus berkhidmat demi institusi dan negara tercinta. Susulan berita pemergian arwah penyanyi terkenal Siti Sarah dan beberapa kematian ibu hamil yang positif Covid-19, hal ini amat memberi kesan mendalam kepada saya.

Sebagai seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata, saya dapat membayangkan kesedihan anak-anak yang kehilangan ibu mereka buat selama-lamanya. Hal ini menyebabkan saya bertambah semangat untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan vaksin agar risiko kematian dapat dikurangkan.

Pengalaman berharga ini akan saya sematkan dalam lipatan sejarah hidup saya
selamanya. Buat semua para sukarelawan, terima kasih yang tidak terhingga atas
segala jasa bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan. Jasa anda kepada
negara begitu bermakna!

Peristiwa sedih juga saya alami sendiri apabila masih ramai yang memilih-milih jenis
vaksin untuk diambil. Sebolehnya kita perlu mengambil apa sahaja vaksin yang diberikan oleh pusat PPV tanpa perlu memilih atau jika masih ada keraguan, boleh terus mendapatkan nasihat doktor.

Ayuni Akhiar
Guru Bahasa,
Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan,
Universiti Sains Malaysia.

Nursyuhada’ Ab Wahab,
Guru bahasa,
Fakulti Pengajian Bahasa Utama,
Universiti Sains Islam Malaysia.