KUALA LUMPUR – Empat menteri akan duduk semeja bagi meneliti kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai dalam menghadapi fasa endemik yang dijangka dilaksanakan menjelang akhir Oktober ini.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain kementerianya, turut terlibat dalam perbincangan itu adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Sebagai persediaan ke arah fasa berkenaan kerajaan sedang meneliti kelonggaran-kelonggaran yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian yang lebih bebas dalam norma baharu.
“Namun pada masa yang sama, kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat disamping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kelonggaran-kelonggaran ini termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan yang lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hishammuddin, banyak faktor perlu diambil kira oleh kerajaan sebelum melaksanakan pelbagai kelonggaran kerana ia melibatkan soal kesihatan rakyat dan keselamatan negara.
Katanya, beliau juga telah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara untuk terus mengemaskini SOP dan kelonggaran yang sudah dipersetujui bersama oleh kementerian-kementerian yang terlibat agar ia lebih mudah difahami dan dipatuhi rakyat tanpa kesulitan kelak,” tegas beliau. – MalaysiaGazette