KUALA LUMPUR – Jenama jam tangan Buruj yang menjadi tular dipakai oleh seorang menteri hanya dijual pada harga RM279 sahaja.
Tinjauan MalaysiaGazette di laman stor jualan jenama itu mendapati harga asalnya adalah RM330 dan diberi diskaun 15 peratus namun kini telah kehabisan stok.
burujshop.com adalah stor jualan yang menjual, mengedar dan memborong jam tangan waktu solat dan arah kiblat serta beberapa model jam tangan bercirikan Islam daripada beberapa jenama yang terkenal dalam pasaran.
Buruj Watches telah mula menjalankan operasinya secara rasmi sejak tahun 2013, dan sejak itu mua berkembang sehingga kini menjadi pengedar tunggal bagi beberapa jenama jam yang mempunyai teknologi waktu solat dan arah kiblat di Malaysia.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad terpaksa menjawab dakwaan Siti Kasim mengenai jam tangan yang dipakainya adalah jenama mewah Rolex.
Naib Presiden Pas itu berkata, beliau sudah lama memakai jam tangan Buruj yang mempunyai kelebihan waktu solat dan arah kiblat.
“Untuk pengetahuan, jam Buruj ni lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat & arah kiblat. Boleh solat kat mana-mana. Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” tulisnya di Facebook miliknya.
Siti yang juga seorang peguam sebelum ini membuat hantaran di Twitter yang mendakwa Idris memakai jam tangan emas Rolex.
“Dengar dia adalah Menteri Agama yang baru sekarang. Merata berdoa di lantai pejabat ke mana sahaja dia pergi. Juga memakai tanda nama Jawi sahaja. Tiada BM (Bahasa Malaysia). Tetapi tengok jam tangan emas Rolex miliknya,” tulisnya. – MalaysiaGazette