ISKANDAR PUTERI – Pemberian vaksin untuk pelajar sekolah yang layak di Johor dijangka bermula akhir Oktober ini selepas seratus peratus penduduk dewasa di negeri ini selesai menjalani vaksinasi.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, buat masa ini kerajaan negeri memberi keutamaan vaksinasi pelajar bawah 18 tahun berbanding pemberian vaksin dos ketiga.
“Pada pandangan kita lebih utama adalah pemberian vaksin kepada remaja bawah 18 tahun terutama pelajar serta mahasiswa.
“Oleh itu, kita harap kerajaan Pusat akan menyegerakan dasar pemberian vaksin kepada pelajar bawah 18 tahun.
“Sekiranya keperluan dos ketiga atau ‘booster’ diperlukan, saya percaya kerajaan Pusat akan membentuk satu dasar khusus bagi meningkatkan antibodi atau daya ketahanan diri rakyat terutama barisan hadapan yang telah terima dos lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nenas) pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.
Bagaimanapun, menurut Hasni, kerajaan Johor akan sentiasa mengikuti perkembangan dasar dos ketiga yang akan diputuskan kerajaan Pusat.
Terdahulu, Tung Siong bertanya sama ada kerajaan Johor bercadang memberikan vaksin dos ketiga kepada barisan hadapan di negeri ini yang berisiko tinggi.
Hasni yang juga Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, sehingga semalam, seramai 83.08 peratus atau 2,253,168 penduduk dewasa di Johor telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Manakala sebanyak 52.61 peratus atau 1,426,866 penduduk dewasa Johor telah lengkap dua dos, semalam. – MalaysiaGazette