Home Nasional Kompleks Sukan MBSP jadi Pusat Persampelan Covid-19

Kompleks Sukan MBSP jadi Pusat Persampelan Covid-19

Pusat Persampelan Covid-19 di Berapit, Bukit Mertajam akan beroperasi sehingga Disember ini.

BUKIT MERTAJAM – Kerajaan Pulau Pinang menjadikan Kompleks Sukan dan Kolam Renang Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini sebagai Pusat Persampelan Covid-19 bagi daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pembukaan pusat tambahan itu dibuat bagi mengatasi kesesakan orang ramai yang mahu membuat ujian saringan, memakai serta memotong gelang kuarantin di Klinik Kesihatan Berapit di daerah itu sebelum ini.

Pusat Persampelan Covid-19 tambahan itu akan dibuka sehingga Disember ini dengan kapasiti pengunjung harian seramai 296 orang.

Chow Kon Yeow.

“Kerajaan negeri komited untuk menukar penggunaan fasiliti dan kemudahan awam di negeri ini mengikut keperluan termasuk cadangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) demi memenuhi kesejahteraan rakyat semasa menghadapi pandemik Covid-19.

“Saya bersama Pengarah JKNPP akan meneliti keperluan ini kerana kerajaan negeri bersedia memberi segala bantuan untuk memastikan semua kemudahan yang diperlukan sebagaimana disaksikan pada hari ini,” katanya ketika melawat Pusat Persampelan Covid-19 tambahan di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud, Pegawai Kesihatan Daerah SPT, Dr. Suraya Idris dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Kon Yeow meninjau kompleks sukan yang dijadikan Pusat Persampelan Covid-19 bagi daerah Seberang Perai Tengah.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap cadangan JKNPP berhubung penyediaan kemudahan tambahan berupa Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta kelengkapan-kelengkapan perubatan yang diperlukan di hospital-hospital Covid-19 di negeri itu supaya segera dipenuhi peringkat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kemudahan berkenaan amat penting memandangkan kes-kes yang meningkat kebelakangan ini di Pulau Pinang menyebabkan kebanyakan kemudahan perubatan menghadapi tekanan untuk memberi perkhidmatan selain menimbulkan beberapa kekangan.

“Kerajaan negeri telahpun membuat permintaan kepada KKM supaya dapat membantu kita dari segi penempatan tambahan terutama sumber manusia. Sekiranya permintaan itu disegerakan, kita dapat mengawal keadaan kesihatan awam di Pulau Pinang,” jelas Kon Yeow.

Sementara itu, Dr. Suraya berkata, ujian calitan serta pemakaian gelang berkaitan kepada mereka yang merupakan kontak rapat atau sah dijangkiti Covid-19 akan bermula jam 9 pagi hingga 1 petang.

Dr. Suraya

“Bagi sesi pemotongan gelang pula ia akan bermula pada jam 4 petang hingga 6 petang,” katanya. – MalaysiaGazette