Home Seni Hidup Penerima RIMJ gembira dapat rumah sendiri

Penerima RIMJ gembira dapat rumah sendiri

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad bersama enerima bantuan Program Bina Rumah Ihsan Makmur Johor (RIMJ) di Pontian hari ini.

PONTIAN – Penerima bantuan Program Bina Rumah Ihsan Makmur Johor (RIMJ) bersyukur kerana impian memiliki rumah sendiri tercapai.

Salah seorang daripada penerimanya, Norkamala Lamasak, 42, menganggapnya sebagai satu hadiah teristimewa kepada dirinya dan keluarga.

Menurutnya, ketika ini tinggal bersama-sama ibu, anak serta anak saudaranya menyewa rumah di Kampung Sanglang.

Ibu tunggal berkenaan memberitahu, pendapatan hasil bekerja sendiri hanya cukup untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.

“Memang ada niat hendak duduk di rumah yang dibina di atas tanah keluarga tetapi oleh kerana kemampuan kewangan terbatas, niat terpaksa dipendam.

“Syukur alhamdulillah, tidak tergambar rasa gembira setelah 10 tahun menunggu. Mungkin sudah tertulis rezeki kami dalam tempoh Covid-19 ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya  Datuk Ir. Hasni Mohammad, kepimpinan daerah serta semua yang membantu merealisasikan impian kami sekeluarga,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Besar Johor ke kediamannya hari ini.

Seorang  lagi penerima, Rohani Abd. Samad, 46, memberitahu penantiannya sejak beberapa tahun lalu kini tercapai apabila pimpinan kerajaan negeri merealisasikan hasratnya.

“Saya telah  memohon bantuan untuk membina  rumah  atas tapak bersebelahan  rumah  ibu saya di  Kampung  Parit  Ramunia, Mukim  Sungai  Pinggan  beberapa tahun lalu.

“Terima kasih  atas  bantuan ini. Semoga Allah  sahaja yang  dapat  membalasnya,”  katanya.- MalaysiaGazette