Home Seni Hidup Saya terkesima dengan koleksi basikal Siti Nurhaliza – Azizulhasni

Saya terkesima dengan koleksi basikal Siti Nurhaliza – Azizulhasni

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang berkesempatan bertemu penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terkesima dengan koleksi basikal penyanyi itu dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Berkongsi di laman Instagram, Azizulhasni mengakui terpaku saat melihat koleksi basikal antik milik pasangan ini.

“Masa berada di galeri tu, saya tengok satu persatu secara terperinci dan seolah-olah ada alunan mozart mengiringi saya. Kagum.

“Tapi saya sangat terkesima melihat koleksi-koleksi basikal mereka. Paling saya terpaku adalah koleksi basikal antik yang memang susah nak dapat.

“Mungkin ada yang tak tahu, Dato K (Khalid) dan Dato CT (Siti Nurhaliza) memang die-hard fan sukan berbasikal.

“Mereka berdua ni memang sangat aktif berkayuh dan siap masuk perlumbaan lagi, jangan tak tahu,” katanya.

Azizulhasni berkata, tidak menyangka dijemput ke rumah apabila kebetulan berada di sekitar kawasan berdekatan kediaman pasangan ini.

“Terima kasih kerana menjemput saya dan saya sangatlah berbesar hati kerana akhirnya dapat bertemu kembali selepas kali terakhir berjumpa di Melbourne dulu.

“Memang tidak dinafikan, satu Malaysia memang sayangkan Dato CT termasuklah saya serta seluruh keluarga.

“Anak-anak saya Amna Maryam @amnamaryam dan Amna Khadeeja @amnakhadeeja_ suka sangat dekat Aafiyah @aafiyahkhalid , jadi saya buat video call dan mereka bersembang secara virtual,” katanya.

Tidak hanya itu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 ini turut berkongsi perihal Siti Nurhaliza yang baru diketahuinya iaitu pandai memasak.

“Saya baru tahu, Dato CT (Siti Nurhaliza) ni bukan hebat menyanyi je, memasak pun boleh tahan juga.

“Banyak hidangan yang disediakan sendiri oleh beliau dan semuanya sedap-sedap belaka tetapi cucur memang terbaik, saya makan tu sampai menyanyi lagu Percayalah….,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette