PANDEMIK COVID-19 telah mengubah lanskap pendidikan negara. Kini pembelajaran tidak bersemuka secara atas talian menjadi medium utama dalam menyampaikan pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian. Pada masa yang sama pembelajaran dan pengajaran yang terhad dalam ruang lingkup bilik kuliah tidak lagi mampu berdaya saing dan berdaya maju. Justeru pembelajaran dan pengajaran di luar bilik yang lebih bersifat kontekstual berpotensi besar untuk menghasilkan pembelajaran bermakna.
Satu daripada pendekatan pembelajaran dan pengajaran yang berorientasikan aktiviti di luar ialah pembelajaran servis. Selain daripada mengaplikasikan teori ke dalam lapangan,
pembelajaran servis yang juga merupakan suatu inovasi akademia baru dapat memupuk serta mengasah kemahiran sosialisasi yang sangat penting sebagai pemula untuk memasuki pasaran kerja dan seterusnya menjamin kelangsungan pekerjaan. Pembelajaran servis akan menjadi lebih bermanfaat bila mana ia disasarkan kepada komuniti yang memerlukan penyelesaian terhadap sesuatu masalah tertentu atau isu kritikal yang apabila dapat diselesaikan boleh membawa kepada pembangunan lestari dan keharmonian.
Ia melangkau apa yang dikatakan sebagai khidmat masyarakat atau kerja amal dalam komuniti kerana pemantauan yang dilakukan oleh pihak pelajar dan universiti akan memastikan projek yang dilakukan akan kekal berterusan sehingga komuniti tersebut mampu menguruskan projek secara kendiri. Pendekatan ini menyamai konsep ‘scaffolding’ yang memberi bimbingan dan bantuan secara berperingkat. Amaun bimbingan dan bantuan akan semakin berkurang sejajar dengan peningkatan penguasaan kemahiran ahli komuniti.
Sesuatu pembelajaran servis perlu merangkumi tiga elemen utama iaitu memberi khidmat kepada komuniti, komitmen pertautan (engagement) dan akhir sekali pembangunan komuniti. Justeru pembelajaran servis merupakan suatu kolaborasi timbal balik (reciprocal) antara pelajar dengan komuniti yang membuahkan hasil ‘menang-menang’ bagi kedua belah pihak. Akibat daripada pandemik, kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini secara tidak langsung telah membataskan interaksi bersemuka antara pelajar dengan sumber dan sasaran komuniti di luar. Jarak pemisah menyebabkan silaturrahim dan keakraban semakin longgar. Budaya ziarah menziarahi, bersua muka dan berjabat tangan
tidak dapat diamalkan lagi. Begitu juga dengan aktiviti dalam komuniti secara fizikal tidak
dapat lagi dilaksanakan serancak dahulu. Namun keterbatasan PKP ini tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak mempraktiskan pembelajaran servis. Internet telah membawa dimensi baru dalam kehidupan era norma baharu COVID-19. Andai lautan menyatukan dua daratan, maka internet menyatukan sesama kita. Sehubungan itu pembelajaran servis dalam komuniti dapat dilaksanakan secara maya.
Ini membawa kepada konsep e-Pembelajaran Servis (e-PS), iaitu perlaksanaan pembelajaran servis menggunakan platform maya seperti Google Meet dan juga
Cisco Webex. Antara kelebihan e-PS ini ialah ianya dapat dilakukan pada sebarang masa dan juga merentas lokaliti. Malah ia boleh dilakukan merentas sempadan negara bagi
menzahirkan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi kearah graduan global.
E-pembelajaran servis boleh dilaksanakan secara atas talian sepenuhnya atau menggunakan pendekatan hibrid dengan menggabungkan kaedah secara bersemuka dan atas talian.
Ia boleh dilakukan sama ada secara segerak (synchronous) atau tidak segerak (asynchronous). Menerusi sesi tidak segerak, pelajar boleh merakamkan terlebih dahulu video kaedah penyelesaian terhadap sesuatu masalah dalam komuniti atau bagaimana untuk menambah baik sesuatu kelemahan dalam komuniti. Ini disusuli dengan pihak komuniti melaksanakan apa yang telah disarankan, seterusnya disusuli dengan pemantauan yang rapi dan sistematik. Dalam sesetengah kes, sesi segerak juga dilaksanakan bagi memperkukuhkan kekurangan yang sekiranya terdapat dalam sesi tidak segerak. Apa pun, usaha ini akan menjadi lebih berjaya dengan penglibatan belia yang pada dasarnya mempunyai kemahiran menggunakan internet dan aplikasi digital.
Integrasi nasional merupakan inisiatif menyatupadukan ahli masyarakat berbilang kaum bagi mengukuhkan institusi komuniti. Justeru konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sangat bertepatan pada ketika rakyat terpisah secara fizikal disebabkan pandemik COVID-19. Manakala e-PS menjadi platform penyampaian dan perlaksanaan program. Menerusi e-PS ahli dalam komuniti dan juga pelajar selaku penggerak dapat berganding bahu bersatu padu berusaha dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi atau sebarang usaha memperkasa komuniti.
Perbezaan pendapat dan berlainan pandangan yang sekiranya wujud perlu diraikan dalam
suasana saling memahami dan menghormati. Dalam menjalankan sesuatu program, selain daripada pelajar tentunya ia melibatkan ramai ahli komuniti daripada pelbagai kaum dan peringkat usia. Ketika aktiviti berjalan, berlakunya proses pemuafakatan yang dapat menyemai dan memupuk semangat kekitaan sebagai suatu Keluarga Malaysia. Komitmen ketua komuniti dan ahlinya dapat memastikan program dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna. Kemahiran teknologi internet dan ketersediaan infrastruktur jalur lebar sangat diperlukan bagi memastikan kejayaan e-PS.
Ini mewajarkan lagi mengapa Pusat Internet Komuniti (PIK) yang berfungsi sebagai pusat sehenti pembelajaran secara atas talian diperluaskan meliputi kawasan luar bandar. Dengan adanya transformasi PIK akan dapat merancakkan lagi aktiviti e-PS yang mampu menyemarakkan lagi usaha membentuk Keluarga Malaysia. Sesebuah komuniti majmuk bukan sekadar terdiri daripada tiga kaum utama di Malaysia dan juga kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak tetapi juga merentas kepelbagaian keturunan dan peringkat usia.
Kepelbagaian pengetahuan dan kemahiran asas mereka ini wajar digembleng secara holistik dan berganding bahu dalam usaha bersama memperkasa komuniti. Golongan pelajar pengajian tinggi yang mempraktiskan e-PS menjadi nadi penggerak dan
memantau program yang dijalankan. Dalam mendepani krisis pandemik, asas kemajmukan kaum berserta amalan e-PS menjadi teras kepada kemenjadian ‘Keluarga Malaysia’.
Prof. Madya Dr. Mohd Zolkifli Abd Hamid.
Pensyarah Kanan,
Sekolah Pendidikan,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
UTM, Skudai, Johor