Home Nasional Empat destinasi pelancongan Pahang capai 100 % imuniti berkelompok

Empat destinasi pelancongan Pahang capai 100 % imuniti berkelompok

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada 180 pemandu pelancong Kuantan di Bangunan Tourism Pahang di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Empat destinasi pelancong Pahang yang sudah mencapai status imuniti berkelompok sudah mula dibuka iaitu Pulau Tioman, Rompin, Taman Negara di Jerantut, Genting Highlands dan Janda Baik di Bentong.

Manakala tiga lagi lokasi iaitu Bukit Fraser, Cameron Highlands dan Rompin akan dibuka selepas majoriti penduduk di kawasan terbabit sudah menerima dos vaksin lengkap.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kerajaan negeri masih menunggu lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membuka sepenuhnya sektor pelancongan.

“Kita masih tunggu lampu hijau daripada MKN bagi pembukaan sepenuhnya sektor pelancongan di Pahang. Pada masa ini kita sudah membuka lima lokasi tumpuan pelancong  sudah mencapai status imuniti berkelompok atau 100 peratus menerima dos lengkap vaksin.

“Sektor pelancongan ini sudah berjalan di Pahang dengan syarat ketat, mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutamanya sudah lengkap menerima dua dos vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada 180 pemandu pelancong Kuantan di Bangunan Tourism Pahang hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Kamarudin Ibrahim.

Tambah Mohd Sharkar, semua pemain industri pelancongan perlu mematuhi setiap SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Ini bagi mengelak jangkitan Covid-19 dan tercetusnya kluster pelancongan di sesebuah kawasan yang menjadi tumpuan pelancong,” katanya. – MalaysiaGazette