Home Akhbar Cina Hotel jangkakan “perbelanjaan ala balas dendam” pada akhir tahun

Hotel jangkakan “perbelanjaan ala balas dendam” pada akhir tahun

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menikmati panorama matahari terbenam di persisiran pantai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Cenang, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Dengan semakin ramai negeri memasuki fasa pemulihan tahap kedua dan ketiga selain pembukaan semula Pulau Langkawi, industri hotel mengharapkan “perbelanjaan ala balas dendam” menjelang akhir tahun.

Nanyang Siang Pau melaporkan, dengan tanda-tanda bahawa kerajaan bergerak membawa negara ke era pascapandemik, industri hotel kini menanti larangan rentas negeri dimansuhkan.

Menurut akhbar itu, ramai pengusaha hotel telah melakukan persediaan mengaktifkan semula hotel mereka, termasuk merekrut semula pekerja atau menambah pekerja.

Di Negeri Sembilan yang memasuki fasa pemulihan ketiga, Port Dickson telah menerima kumpulan penginap hotel pertama pada cuti Hari Kebangsaan lalu.

Setiausaha Persatuan Hotel Malaysia Negeri Sembilan, Andy Chong berkata, pada cuti tersebut, hotel di Port Dickson telah mencapai kadar penginapan 20 peratus hasil daripada lawatan pelancong Negeri Sembilan.

Katanya, pencapaian itu merupakan sesuatu di luar jangkaan dan pengusaha berharap pelancong dari Lembah Klang akan “melancong secara balas dendam” pada suku terakhir 2021.

Menurutnya, 30 peratus hotel di Port Dickson telah beroperasi semula dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang pertengahan September.

“Pihak persatuan telah meminta pengusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan hanya menerima pelanggan yang menerima vaksinasi lengkap” katanya.

Jelasnya, selepas pelanggan daftar keluar, pengusaha juga akan mengosongkan bilik sekurang-kurangnya sehari untuk melakukan sanitasi.

Sementara itu, pengarah jualan VIP Pass, Nicholas How berkata, walaupun keadaan COVID-19 di Kuala Lumpur dan Selangor tidak bertambah baik, tetapi ramai orang tidak sabar mahu bercuti termasuk melalui cuti inap di kawasan setempat.

“Data daripada platform kami menunjukkan tempahan pada Julai dan Ogos sangat mengalakkan, termasuk dari golongan M40 dan B40,” katanya. – MalaysiaGazette