Home Ekonomi Letak sasaran paling tinggi jika ingin berjaya – Idris

Letak sasaran paling tinggi jika ingin berjaya – Idris

Idris Jala

KUALA LUMPUR – Individu atau pemimpin yang ingin melakukan transformasi perlu sentiasa memastikan perkara yang mustahil dilakukan boleh dicapai.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, mereka perlu menetapkan sasaran paling tinggi dan menyematnya dalam minda seperti mahu  memecah rekod Sukan Olimpik.

Beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) memberitahu, jika sasaran tinggi itu sudah ditetapkan, mereka akan berani untuk berdepan dan menguasai kegagalan pada masa akan datang.

“Jika kita ingin melakukan transformsi atau satu perubahan besar, kita perlu melibatkan permainan yang mustahil. Ini kerana kita akan dapat menguasai perasaan takut untuk gagal.

“Saya bertuah dapat bertemu individu hebat seperti Richard Branson, Carl Lewis, Jack Ma dan Arnold Schwarzenegger  di mana mereka berkongsi rahsia yang sama dan mengejar benda yang mustahil,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila muncul sebagai panel pada Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa 2021(IPEF 2021) yang berlangsung secara maya di sini hari ini.

IPEF 2021 dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)  untuk membantu menghidupkan semula sektor buruh negara melalui perkongsian maklumat dan amalan terbaik untuk membina semula kehidupan selepas wabak Covid-19.

Idris turut berkongsi pengalamannya bertemu dengan bekas jaguh pecut dunia, Usain Bolt yang merupakan pemenang lapan emas pada temasya Sukan Olimpik pada 2008, 2012 dan 2016.

Kata beliau, bintang pecut Jamaica itu memiliki perwatakan berbeza ketika di televisyen berbanding bertemu secara berdepan.

Menurutnya, Usain sebenarnya merupakan seorang juara dunia yang pemalu dan pendiam.

“Ketika bertemu beliau dan saya bertanyakan rahsia kejayaan selama ini, dia memberitahu sentiasa meletakkan sasaran setinggi Sukan Olimpik.

“Dalam mindanya adalah untuk sentiasa memecah rekod Sukan Olimpik. Oleh itu, jika kita ingin menjadi juara dalam apa yang kita lakukan, kita tidak boleh menetapkan sasaran yang rendah. Mulakan dengan sasaran yang besar,” katanya. – MalaysiaGazette