KUALA LUMPUR – Malaysia meletakkan keutamaan untuk membangunkan kembali ekonominya selain menempatkan negara pada kedudukan yang lebih kukuh dengan ekonomi yang lebih kompetitif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, cabaran yang dihadapi negara sejak 18 bulan lepas turut memberikan peluang kepada kerajaan untuk mengkaji semula dasar dan strateginya.
Mustapa seterusnya menyenaraikan beberapa keutamaan kerajaan dalam tempoh 10 tahun akan datang termasuk meningkatkan pendapatan, menghapuskan kemiskinan mutlak dan mengurangkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah serta memastikan pertumbuhan berkualiti yang mampan — iaitu pertumbuhan tanpa menjejaskan persekitaran.
Mustapa berkata, Unit Perancang Ekonomi telah melibatkan diri secara aktif dengan pelbagai pihak berkepentingan dari seawal April 2019 dalam menyiapkan RMK-12, yang akan dibentangkan pada 27 Sept ini.
“Seperti rancangan lima tahun sebelumnya, RMK-12 akan memberikan trajektori menyeluruh agenda pembangunan kerajaan. Ia menyediakan petunjuk arah kepada agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, pelabur dan masyarakat secara umum mengenai keseluruhan hala tuju kerajaan Malaysia,” jelasnya.