RANCANGAN pembukaan semula IPT pada semester yang akan datang seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi adalah suatu tindakan yang wajar memandangkan sudah lebih daripada setahun pelajar IPT menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya. Pelbagai isu dan aspek telah diulas oleh banyak pihak mengenai keberkesanan proses PdP sepanjang tempoh tersebut kerana ia adalah norma baharu yang terpaksa ditempuh oleh bukan sahaja pelajar, bahkan pensyarah serta pihak pengurusan IPT.
Bagi pelajar yang mengambil jurusan yang melibatkan aspek praktikal dan makmal seperti kejuruteraan, kulinari, teknologi makmal dan sebagainya, mereka terpaksa berhadapan dengan cabaran untuk melaksanakan aktiviti PdP secara maya. Ini kerana aktiviti yang asalnya dilaksanakan secara fizikal, terpaksa diubah dalam bentuk atas talian. Ia adalah suatu perkara yang agak sukar untuk dilaksanakan dengan sebaiknya.
Sudah pasti apabila IPT dibuka semula, kita mengharapkan agar ia dirancang dengan penuh teliti supaya tidak berlaku keadaan yang lebih buruk dengan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal. Tambahan pula dengan pelbagai VOC (variants of concern) virus Covid-19 yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Antara perkara yang perlu dititik beratkan sudah pasti isu berkaitan dengan pemberian vaksin kepada para pelajar dan pensyarah yang akan memasuki kampus. Terdapat sebahagian IPT yang telahpun menubuhkan PPV di kampus masing-masing dan ini boleh diperluas dan dijadikan sebagai penanda aras kepada IPT yang lain. Pemberian vaksin ini sangat penting dalam memastikan wujud imuniti kelompok di kalangan warga IPT.
Selain itu, aspek kawalan SOP dalam kampus juga perlu ditekankan seperti penggunaan pelitup muka, hand sanitizer serta penjarakan fizikal. Pihak IPT boleh merancang untuk melaksanakan kaedah PdP secara hibrid iaitu secara maya dan fizikal. Bagi kursus-kursus yang memerlukan latihan praktikal di makmal, kaedah PdP secara fizikal boleh dijalankan jika didapati ada kursus yang agak kritikal dan perlu kepada pengajaran dan pembelajaran secara fizikal, ia boleh dicadangkan untuk dilaksanakan dengan SOP yang ketat.
Persediaan di sudut kebajikan pelajar IPT juga harus diberikan perhatian. Ia termasuklah kemudahan rangkaian internet Wi-Fi yang meluas di kampus, prasarana untuk aktiviti-aktiviti yang dibenarkan dalam kampus serta bantuan kewangan terutama yang melibatkan golongan B40. Sebagai contoh di UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama YaPEIM telah diwujudkan program Foodbank untuk membantu pelajar-pelajar yang tinggal di kampus.
Justeru, pembukaan semula IPT dapat memberi ruang kepada pelajar untuk meneruskan semula pengajian dengan lebih efektif apabila dilaksanakan secara fizikal dan bersemuka. Namun, pada masa yang sama, IPT mesti memastikan keadaan keselamatan warganya terjamin dengan suntikan vaksinasi, pematuhan SOP yang ketat serta kebajikan pelajar yang terus dipelihara. Semoga warga IPT dilindungi daripada cengkaman wabak pandemik Covid-19 ini.
Oleh: Zaiton Din
Pensyarah
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
UiTM Cawangan Pulau Pinang