Home Ekonomi Penghantar Grab digalak buat caruman i-Saraan

Penghantar Grab digalak buat caruman i-Saraan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Grab Malaysia (Grab) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan komuniti rakan pemandu dan penghantar mereka menabung untuk simpanan persaraan melalui program i-Saraan bagi ahli yang berumur bawah 55 tahun atau caruman sukarela bagi yang berumur 55 dan ke atas.

MoU ini adalah kesinambungan daripada MoU yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada Ogos 2018.

i-Saraan ialah caruman sukarela yang membolehkan individu yang bekerja dalam ekonomi gig dan juga yang bekerja sendiri menabung untuk simpanan persaraan mereka melalui caruman di KWSP.

Mereka yang mencarum dalam i-Saraan akan menerima insentif kerajaan sebanyak 15 peratus berdasarkan jumlah caruman individu setahun, sehingga maksimum RM250 setahun.

Bawah program caruman sukarela pula, individu boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa sehingga RM60,000 setahun.

Mulai 1 September 2021, Grab akan memberi insentif untuk rakan pemandu dan penghantar yang berkelayakan seperti yang dinyatakan dalam MoU tersebut:


KWSP berkata, dengan membuat simpanan awal walaupun dengan jumlah yang kecil, rakan pemandu dan penghantar Grab akan mendapat manfaat daripada penggandaan dividen.

Sebagai contoh, melalui penggandaan dividen, individu yang mencarum RM10 sebulan untuk tempoh 30 tahun akan menggandakan simpanan mereka menjadi RM8,220 selepas 30 tahun atau dua kali ganda daripada jumlah caruman yang dibuat.

Jika rakan pemandu dan penghantar Grab mencarum RM140 sebulan, mereka berpeluang menikmati insentif Grab dan i-Saraan, memberi mereka jumlah terkumpul sebanyak RM114,840 dalam masa 30 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerjasama KWSP dan Grab ini akan meningkatkan kesejahteraan persaraan rakan pemandu dan penghantar mereka.

MoU ini juga mempromosikan literasi kewangan dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar Grab serta kepentingan membuat persediaan persaraan, terutamanya dalam landskap ekonomi yang mencabar ini di mana semua pihak perlu cakna dengan keadaan kewangan masing-masing.

”Kami berharap komuniti rakan pemandu dan penghantar Grab yang amat bekerja keras akan mendaftar sebagai ahli KWSP dan membuat simpanan untuk tabung persaraan mereka, sama ada melalui program i-Saraan atau caruman sukarela.

Ini bukan sahaja dapat membantu mereka membuat persediaan persaraan, malah mereka juga akan dapat mendapat manfaat sebagai ahli KWSP, antaranya dividen tahunan ke atas simpanan, pelepasan cukai, dan bantuan kematian.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, pihaknya berbesar hati atas kerjasama dengan KWSP ini yang selaras dengan langkah kerajaan
yang mewujudkan ekosistem perlindungan sosial yang lebih holistik.

“Berikutan pandemik, terdapat penambahan pendaftaran yang mendadak untuk menjadi rakan pemandu dan penghantar, dengan lebih 50,000 orang menyertai platform ini. Mereka bekerja keras setiap hari untuk menampung diri dan keluarga dan ini mendorong kami untuk memberikan yang terbaik.

”Disebabkan itu, kami akan membuat caruman tambahan sebanyak 10% untuk rakan kami yang berumur 55 tahun ke atas yang menyertai skim caruman sukarela, dan juga rakan OKU. – MalaysiaGazette