Home Sukan Piala dunia: Uefa tolak cadangan temasya dua tahun sekali

Piala dunia: Uefa tolak cadangan temasya dua tahun sekali

Ceferin menolak cadangan piala dunia diadakan setiap dua tahun sekali. Foto kredit: Getty Images

LONDON – Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) menolak cadangan mengadakan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia setiap dua tahun sekali.

Presidennya Aleksander Ceferin percaya idea itu hanya akan melenyapkan keunikan dan populariti temasya empat tahun sekali itu.

FIFA sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan terhadap cadangan Piala Dunia Dwitahunan yang dikemukakan oleh Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi pada Mei yang lalu.

Justeru proses rundingan cadangan itu dipelopori dan disokong oleh bekas Pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

“Temasya Piala Dunia ada nilai yang tersendiri apabila diadakan setiap empat tahun sekali.

“Menganjurkan Piala Dunia secara dua tahun sekali hanya akan merendahkan sejarah, nilai dan kualiti temasya itu sendiri,” katanya ketika berucap di hadapan 160 wakil kelab di Perhimpunan Agung Persatuan Kelab Eropah di Geneva.

Bola Sepak Piala Dunia untuk lelaki diadakan empat tahun seklai sejak 1930 kecuali 1942 dan 1946 akibat Perang Dunia Kedua.

Manakala pertandingan piala dunia bola sepak wanita juga diadakan empat tahun sekali sejak 1991.

Wenger selaku Pengerusi Pembangunan Bola Sepak Global FIFA berkata, dia mahu melihat temasya Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah diadakan setiap dua tahun sekali.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Infantino tanpa menyentuh mengenai perkara tersebut pernah menyatakan hasratnya bahawa perlu ada perubahan dari akar umbi dalam kalender bola sepak antarabangsa pada masa akan datang.

“Kita tidak seharusnya mendekati cadangan itu sebagai cabaran atau pergaduhan.

“Ia antara cara untuk kita mematangkan serta menguatkan lagi sukan bola sepak di peringkat global.

“Malah kita juga bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan peminat bola sepak dunia berhobur dengan sukan ini.

“Pintu FIFA sentiasa terbuka untuk sebarang bentuk cadangan dan idea demi pembangunan bola sepak global,” katanya.-BBC Sport.com