KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Oktober depan bagi calon 2020 dan 2021 secara serentak ditangguhkan ke 15 hingga 18 November.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa serta ulasan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan keputusan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa pandemik Covid-19 khususnya dari aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama semua agensi telah menyediakan pelan tindakan demi memastikan UPKK dapat dilaksana dan berjalan lancar.
Idris menambah, Jakim optimis dengan usaha kerajaan ketika ini untuk menuju sasaran imuniti kelompok dan dengan itu membuat ketetapan hanya petugas peperiksaan yang mendapat dua dos lengkap vaksin sahaja dibenarkan untuk bertugas di semua pusat peperiksaan.
Katanya, pembukaan sesi persekolahan bagi calon peperiksaan UPKK juga dibuat mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan yang memutuskan sesi persekolahan untuk calon peperiksaan bermula pada 3 Oktober ini secara berperingkat mengikut perkembangan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). – MalaysiaGazette