Home Eksklusif Wanita temui semula barangan kemas dari timbunan sampah

Wanita temui semula barangan kemas dari timbunan sampah

Kotak hijau berisi barang kemas milik mangsa ditemui semula di pejabat operasi E-Idaman cawangan Sik, Kedah hari ini.

SIK – Seorang wanita menarik nafas lega apabila barangan kemas miliknya bernilai RM70,000 yang dibuang bersama sampah berjaya ditemui semula hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, kotak hijau berisi barang kemas itu dibuang oleh ibu wanita berkenaan secara tidak sengaja sebelum dikutip syarikat konsesi pembersihan, Environment Idaman (E-Idaman)  dari kawasan perumahan Kampung Kota Bukit, Jeneri.

Barang kemas bernilai RM70,000 milik mangsa yang berjaya ditemui semula.

Ketua Jabatan Sumber Manusia E-Idaman Cawangan Sik, Norfarehah Abd Talib berkata, wanita berusia 36 tahun itu hadir ke pejabat E-Idaman memaklumkan kejadian sebelum meminta kerjasama untuk mengeluarkan semula bahan buangan yang diambil daripada kawasan perumahannya.

Norfarehah.

“Hasil semakan mendapati lori yang membawa sampah dari kawasan perumahan itu masih berada di depoh pengumpulan serta pelupusan.

“Malah, sampah dalam kenderaan itu masih belum dilupuskan.

Barang kemas itu ditemui di depoh pengumpulan sampah E-Idaman cawangan Sik, Kedah.

“Susulan itu, kita membenarkan wanita tersebut ke depoh berkenaan untuk melakukan pencarian sebelum dia menemui semula barang kemasnya itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiGazette hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi dua minit 50 saat menunjukkan pekerja pembersihan E-Idaman membantu wanita itu mencari barangan kemas bernilai RM70,000 dalam longgokan sampah yang dipungut sekitar beberapa kawasan perumahan semalam.

Barang kemas itu ditemui dalam longgokan sampah yang dikutip E-Idaman sekitar kawasan perumahan di Jeneri.

Berdasarkan rakaman itu, wanita terbabit menemui semula kotak hijau mengandungi pelbagai jenis barang kemas termasuk gelang dan cincin. – MalaysiaGazette