Home Politik Ahmad Maslan dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Ahmad Maslan dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Pencalonan Setiausaha Agung UMNO itu dibuat selepas Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said melepaskan jawatan tersebut.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan pencalonan itu.

“Ya, betul,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menyifatkan keputusan itu tepat kerana kerusi itu masih perlu diisi oleh calon blok kerajaan.

Tambahnya, kerajaan juga tidak akan sesekali memberi ruang kepada calon bukan kerajaan bagi mengisi jawatan berkenaan, walaupun terdapat desakan supaya calon daripada pembangkang dipertimbangkan.

Beliau turut difahamkan bahawa bekas Timbalan Speaker Parlimen, Nga Kor Ming bakal dicadangkan oleh blok pembangkang untuk menduduki semula kerusi itu melalui proses pemilihan baharu di Parlimen kelak.

Nga sebelum ini memegang jawatan itu semasa pentadbiran di bawah Pakatan Harapan dan melepaskan jawatan itu berikutan penyingkiran bekas speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada Julai 2020.

Nazri berkata, pembangkang tidak seharusnya menuntut jawatan itu kerana mereka tidak membuat tawaran serupa ketika berkuasa.

“Pembangkang tidak perlu banyak bercakap tentang lebih terbuka dengan menerima calon mereka sebagai Timbalan Speaker.

“Ketika (Pakatan) Harapan menjadi pemerintah, mereka tidak memberi banyak ruang kepada kami sebagai pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette