Home Nasional Ambulans kemalangan dan terbakar, pembantu perubatan maut

Ambulans kemalangan dan terbakar, pembantu perubatan maut

Keadaan ambulans yang remuk selepas terlibat kemalangan di Jalan Ayer Hitam Batu 49, Simpang Renggam, Johor.

KLUANG – Seorang pembantu perubatan meninggal dunia ditempat kejadian apabila ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Ayer Hitam Batu 49, Simpang Renggam di sini, malam tadi.

Kemalangan itu berlaku dari arah Machap menghala ke Simpang Renggam

Ketua Polis Daerah Kluang mengesahkan kejadian itu berkata, kemalangan itu pada pukul 8.20 malam apabila ambulan yang dipandu oleh satu lelaki bersama empat penumpang  telah melanggar belakang tayar sebuah lori yang sedang membelok ke kanan.

“Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Aidil Hamidun, 27 tahun dan insiden itu turut menyebabkan pemandu ambulans, Othman Ghafan, 50, dan seorang pesakit wanita cedera parah.

“Sementara itu, dua lagi penumpang terdiri daripada lelaki dan wanita yang juga pesakit yang dibawa cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Abd. Rahim Razali berkata, maklumat awal mendapati ambulans terbabit dalam perjalanan membawa tiga mangsa kemalangan di Machap menuju ke Hospital Kluang.

Kemalangan itu jelasnya, menyebabkan berlaku kebakaran ke atas ambulans terbabit sebelum berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api.

Ketika pihak bomba tiba ditempat kejadian api sudah dipadamkan.- MalaysiaGazette