Home Sukan KBS kaji penganjuran SUKMA 2020

KBS kaji penganjuran SUKMA 2020

Ahmad Faizal Azumu mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, hari ini.
JOHOR BAHRU – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji kaedah penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, selain penyelarasan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pendekatan itu antara lain seperti penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijalankan tanpa kehadiran penonton.
“Soal penganjuran, kita (KBS) akan meneliti cara terbaik bagi SUKMA Johor 2020. Kaedah penganjurannya masih di tahap perbincangan.
“Saya juga akan bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membincangkan perkara terbabit.
“Antara perkara yang akan dibincangkan termasuk gelembung atlet memandangkan penganjuran temasya ini turut membabitkan atlet kemungkinan berusia bawah 17 tahun yang belum menerima vaksin,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, hari ini.
Semalam, Onn Hafiz memaklumkan Johor bersedia menjadi tuan rumah SUKMA pada tahun depan selepas ditangguhkan dua kali sebelum ini berikutan pandemik Covid-19 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Jelasnya, semua vanue bagi SUKMA juga telah siap sepenuhnya.- MalaysiaGazette