KUALA LUMPUR – Kedudukan dasar liga tidak mencerminkan persembahan UiTM FC yang makin mempamerkan peningkatan ketara dalam empat perlawanan terakhir Liga Super.
UiTM FC juga dilihat mampu menghadirkan kejutan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman, malam ini.
Menurut pemain sayap Kedah, Mohd Syazwan Zainon, jika rakan-rakannya memandang rendah terhadap UiTM, mereka mungkin kempunan meraih tiga mata penting sekali gus membuka ruang buat Penang FC atau Terengganu FC bagi merebut posisi naib juara Liga Super yang menawarkan tempat di Piala AFC.
Tambahan UiTM sudah tersingkir ke Liga Premier, Syazwan berasakan situasi itu memberikan sedikit kelebihan kepada lawan yang pasti akan turun tanpa sebarang tekanan.
“Tiada jalan mudah buat Kedah menjelang perlawanan dengan UiTM walaupun ramai yang berkata tiada masalah kepada kami untuk menang kerana berdepan dengan lawan yang telah tersingkir ke Liga Premier.
“Berdasarkan pengalaman, pasukan yang berada di bawah sering kali akan beraksi dengan bersungguh-sungguh apabila bertemu dengan pasukan yang berada di tangga atas.
“Saya sudah mengkaji corak permainan UiTM semasa menentang PJ City baru-baru ini, saya fikirkan lawan punyai skuad yang baik tambahan mereka kebelakangan ini sudah meraih dua kemenangan.
“Kami tidak boleh keciciran sebarang mata dalam baki dua perlawanan yang tinggal ini kerana boleh jejaskan peluang kami ke Piala AFC kerana kedudukan kami sedang diekori rapat oleh Penang dan Terengganu,” katanya.
Sebagai rekod, Kedah menang 1-0 pada pertemuan sulung dengan UiTM pada musim ini di Stadium UiTM Shah Alam, hasil jaringan tunggal Faizat Ghazli pada minit-42.
Syazwan yang kembali dari Selangor FC untuk bersama Kedah pada musim ini telah melakukan 12 penampilan dengan tujuh daripadanya bermula dari kesebelasan utama.
Tidak banyak beraksi pada awal musim ekoran mahu pulih sepenuhnya terhadap kecederaan lama di buku lali, Syazwan mula menjadi pilihan pengendali, Aidil Sharin Sahak untuk digunakan pada 11 perlawanan terakhir.
Dia telah meledak dua jaringan setakat ini ketika membantu Kedah menewaskan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Ogos lalu selain seri 2-2 dengan Sri Pahang FC, pada 1 September di Stadium Darul Makmur.
Dalam pada itu, pemain berusia 32 tahun itu mengakui ketiadaan dua tonggak import, Kpah Sherman dan Rabih Ataya sememangnya begitu dirasai namun dia tidak mahu menggunakan itu sebagai punca prestasi tidak konsisten yang sedang dialami pasukan.
Jelasnya, faktor perlawanan yang padat juga sedikit sebanyak berikan kesan tetapi mengharapkan mereka mampu bertahan dalam harungi dua lagi baki perlawanan Liga Super.
“Tipulah kalau saya kata ketiadaan mereka berdua, pasukan kami tidak terjejas kerana kami semua telah bermain bersama dalam satu musim yang panjang.
“Namun, saya rasa perkara itu tidak boleh digunakan sebagai alasan kerana ketiadaan mereka berdua masih mampu digantikan dengan pemain lain selain tidak boleh dilupakan perlawanan yang padat dengan dua kali seminggu, ada berikan kesan terhadap kecergasan pemain, ” katanya. – MalaysiaGazette