MEMPERKENALKAN konsep ‘Keluarga Malaysia’ dalam imej dan pendekatan baharu kerajaan merupakan suatu pendekatan yang ditunggu-tunggu ramai pihak.
Terutama dalam kalangan rakyat Malaysia yang digelar ‘marhaen’, mereka mahu suatu keakraban atas nama negara dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat politik di tanah air.
Disebabkan pergaduhan dan perbalahan antara ahli-ahli politiklah mengakibatkan kerajaan baharu di Malaysia dibentuk sekarang ini.
Walhal, situasi pandemik Covid-19 makin serius dan memerlukan fokus yang lebih menyeluruh, terutama dari pihak pemerintah.
Bukannya rakyat tidak sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang pasti mempunyai pihak kerajaan dan pembangkang, namun rakyat tidak faham apabila masih wujud sesetengah pihak yang terus bermain kejar-kejar kuasa, dikala pandemik yang mengancam nyawa rakyat ini masih belum diselesaikan.
Justeru, imej ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri ke Sembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat kena pada masa dan selera rakyat.
Yang harus ‘ditalkinkan’untuk kembali ke aliran benar – berpadu tenaga demi negara – adalah kalangan masyarakat politik, bukan masyarakat massa atau kebanyakan.
Andai tiada sebarang persefahaman dan nilai-nilai tinggi kekeluargaan, tidak mustahil akan wujud lagi gerakan demi gerakan untuk meruntuhkan kerajaan yang baru diwujudkan ini.
Sampai bila kita mahu melihat negara kita sering menukar Perdana Menteri? Sampai bila kita mahu ‘menyibukkan’ Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan kemelut demi kemelut ini?
Rakyat sudah lama memberi ‘hint’ bahawa keadaan semasa memaksa untuk semua pihak berhenti berpolitik seketika. Tumpukan kepada kerja-kerja untuk mengembalikan norma lama dalam kehidupan di negara ini.
Selepas semua kembali normal dan sejahtera, maka keluarlah memburu kuasa pada waktu itu. Terokalah sedalam-dalamnya ‘hutan’ demokrasi yang kita ada selama ini.
Pinta rakyat bukannya banyak. Hanya seketika ini sahaja untuk masing-masing saling bekerjasama dalam satu saf dan hubungan agar kita mampu menang melawan pandemik Covid-19 dan mengembalikan sektor ekonomi rakyat.
Begitu juga dengan konsep ‘Bekerja Bersama Rakyat’yang disebut Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya, ia cerminan kepada kerajaan ini dirakyatkan sehabis baik.
Tiada lagi pandangan elitis dalam gerakan kerajaan terutama dari segi pendekatan, idea dan dasar-dasar yang bakal dibentuk selepas ini. Itulah hendaknya rakyat di bawah, membawa tafsiran dari kata-kata Perdana Menteri kita.
Lebih menarik, kerajaan sedia ada mengambil pendekatan untuk lebih berlapang dada atau berjiwa besar. Perdana Menteri dari UMNO ini menyebut bahawa beliau akan meneruskan apa saja gerak kerja dari kerajaan terdahulu dalam memerangi pandemik Covid-19.
Tak terhenti di situ, Ismail Sabri juga cuba menghulurkan tangan kepada semua ahli-ahli politik pembangkang untuk hadir menyumbang kepada nusa dan bangsa bagi melawan Covid-19.
Ini semua adalah hasrat rakyat jelata. Hasrat Pak Karim yang menjual roti canai di Dengkil. Hasrat Mak Senah yang menjual Apam Balik di Senawang. Hasrat Pak Yan yang menjual khidmat penghantaran hadiah hari jadi di Langkawi dan hasrat jutaan rakyat Malaysia.
Mereka tidak mahu ahli politik bermain retorik dan berpolitik 24 jam. Mereka mahu pemimpin di atas menunjukkan contoh tauladan yang baik untuk mereka ikuti di bawah.
Contoh dimana kita semua saling jaga antara sesama kita, seperti mana kita menjaga darah daging kita dalam sesebuah hubungan kekeluargaan.
Justeru, tepatkan impian dan pendekatan Ismail Sabri memperkenalkan ‘Keluarga Malaysia’ dalam pentadbirannya kali ini, sebelum bertemu dengan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan datang.
Semoga ‘Keluarga Malaysia’ benar-benar mampu wujud mulai hari ini dan kita semua bagaikan pepatah Melayu “air dicincang takkan putus.” Kita Jaga Kita!
Sarfarizmal Bin Md Saad
Setiausaha Agung
Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA) Malaysia.