Home Nasional Lelaki mengamuk di Balai Polis Gopeng positif dadah, miliki 16 rekod lampau

Lelaki mengamuk di Balai Polis Gopeng positif dadah, miliki 16 rekod lampau

Tangkap layar menujukkan suspek berdiri di atas kereta peronda polis sambil menghayunkan sabit panjang di hadapan Balai Polis Gopeng, Perak.

IPOH – Warga emas yang ditahan berdiri atas kereta peronda polis sambil mengayunkan parang serta sabit panjang dalam kejadian di hadapan Balai Polis Gopeng, di sini semalam didapati positif dadah.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan juga mendapati suspek lelaki berusia 61 tahun itu mempunyai 16 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menjelaskan kejadian, Mior Faridalathrash berkata, lelaki tempatan itu menunggang motosikal sambil membawa sebilah parang dan sabit panjang memasuki kawasan Balai Polis Gopeng kira-kira jam 8 pagi semalam.

Ketua Polis Perak Komisioner Datuk Mior Faridalathrash Wahid

“Suspek kemudian bertindak melibaskan parang dan sabit yang dibawanya di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan balai berkenaan sebelum pegawai yang melihat kejadian itu cuba menenangkan suspek serta mendapatkan bantuan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Susulan itu, suspek keluar dari kawasan balai menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur namun berjaya disekat oleh pihak polis di hadapan pagar balai dengan menempatkan sebuah kereta peronda di tengah jalan sebagai penghalang kepada orang awam melalui jalan tersebut.

“Suspek kemudian meluru ke arah kereta peronda itu sebelum memanjat dan berdiri di atasnya sambil melibatkan parang serta sabit bagi mengelakkan dirinya didekati pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mior Faridalathrash, pihak bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 dan bertindak menyemburkan air ke arah mangsa sebelum dia berjaya diberkas.

“Suspek kemudian terjatuh atas jalan sebelum proses tangkapan dilakukan. Dalam proses itu dia mengalami sedikit kecederaan.

“Semakan lanjut mendapati suspek telah mengamuk serta merampas motosikal orang awam di Pasar Awam Lawan Kuda kemudian memujuk ke kawasan perumahan Kopisan sebelum ke balai polis.

Suspek berjaya ditahan selepas pihak bomba semburkan air ke arahnya.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan kita juga merampas sebilah parang, sabit, sebuah motosikal serta serangkai kunci dalam kejadian tersebut,” kata beliau.

Menurut beliau, tiada anggota mahupun orang awam cedera dalam kejadian tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran dalam masyarakat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan; Seksyen 90 Akta Polis 1967; Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” jelas Mior Faridalathrash.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki bersenjatakan sebilah sabit mengamuk di hadapan balai polis di Gopeng, Perak.

Menerusi klip video yang tersebar di laman Facebook, kelihatan lelaki yang hanya berseluar jeans itu sedang menghayun senjata tajam ke arah orang ramai yang berada di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette