KOTA TINGGI – Seorang kakitangan kontrak sebuah syarikat swasta di Pengerang yang didakwa menyebarkan berita palsu 14 ahli keluarganya mati akibat Covid-19 sehingga berjaya meraih sumbangan sebanyak RM91,000 di bawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini untuk hadapi pertuduhan.
Tertuduh 45 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah dengan berpakaian lokap bewarna jingga tiba di mahkamah diiringi kenderaan polis pukul 9.50 tadi.
Suspek yang direman selama empat hari bermula Sabtu lalu dijangka didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat juga boleh dikenakan denda.
Terdahulu, lelaki itu ditahan ketika hadir sendiri di Balai Polis Bayu Damai Sabtu lalu selepas dipercayai ingin membuat laporan ‘covering’ bagi diri suspek tentang kejadian itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora hasil maklumat dan siasatan mendapati suspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat Covid-19 itu bagi mendapatkan sumbangan derma sejak bulan Jun lalu.
Maklumat itu tular menerusi media sosial WhatsApp dan Facebook dan lelaki itu mendakwa sedang berdepan ujian berat apabila kehilangan ahli keluarga mulai Jun lalu hingga September ini.
Mesej itu juga turut memaparkan nombor akaun lelaki berkenaan bagi mereka yang mahu memberikan sumbangan khairat kematian keluarganya itu.- MalaysiaGazette