Home Sukan Portugal tanpa Ronaldo menang selesa lawan Azerbaijan

Portugal tanpa Ronaldo menang selesa lawan Azerbaijan

Jota menjaringkan gol kemenangan untuk Portugal dalam aksi menentang Azerbaijan Pusingan Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 Kumpulan A pada Selasa. Kredit Foto: BBC Sport via getty images

LONDON – Portugal yang turun tanpa pemain tonggak utama mereka, Cristiano Ronaldo menang selesa 3-0 menentang Azerbaijan dalam  aksi Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022.

Bagaimanapun, kemenangan ini belum cukup menjamin bekas juara Eropah itu untuk mara secara automatik ke Piala Dunia Qatar apabila peluangnya masih belum terjamin.

Bintang Manchester City, Bernardo Silva berjaya menyempurnakan hantaran Bruno Fernandes ke dalam gawang lawan membuka gol pertama pasukannya pada minit ke-26.

Kemudian André Silva pula tampil menggandakan jaringan untuk skuad Portugal pada minit ke-31 selepas Diogo Jota gagal memanfaatkan peluang cipta gol hasil hantaran Fernandes.

Namun, Portugal tidak mengambil masa yang lama untuk menjinakkan lawannya selepas Jota membuka gol ketiga untuk pasukannya pada minit ke-75.

Hasil tandukan kencang Jota berjaya membantu Portugal pulang dengan tiga mata penuh.

Dengan kemenangan itu, Portugal mengungguli carta Kumpulan A dengan 13 mata selepas lima perlawanan manakala Azerbaijan berada di tangga tercorot dengan satu mata sahaja.

Manakala Serbia pula berada di tangga kedua dengan 11 mata selepas terikat seri 1-1 dengan Republic of Ireland yang menduduki tempat keempat dengan dua mata sahaja.

Bintang Manchester United Ronaldo tidak dapat beraksi dalam perlawanan itu selepas digantung kerana menerima kad kuning kedua sebelum ini atas kesalahan membuka jersi ketika meraikan gol kemenangan 2-1 ke atas Republic of Ireland.

Portugal masih perlu mengharungi tiga perlawanan dalam Kumpulan A dan akan berdepan Luxembourg pada 12 Oktober ini.- BBC Sport.com