Home Ekonomi Projek infra rakyat dibangunkan sepenuhnya untuk rangsang industri tempatan

Projek infra rakyat dibangunkan sepenuhnya untuk rangsang industri tempatan

Wee Ka Siong semasa mengadakan perbincangan dengan ACCCIM semalam.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan projek infra rakyat seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) dan MRT3 dapat dibangunkan sepenuhnya supaya ia mampu membawa lebih banyak manfaat ekonomi kepada negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan akan meneruskan pemantauan terhadap pembangunan pasaran, melaksanakan dasar-dasar mesra pelabur asing serta membantu dalam pemulihan dan merangsang industri tempatan.

Menurutnya, lerajaan sentiasa mendengar suara semua pihak dan berusaha mencapai kesimbangan antara kesihatan, masyarakat dan ekonomi, melalui pengumuman Belanjawan 2022 yang komprehensif dan inklusif, selari dengan semangat Keluarga Malaysia demi membawa manfaat kepada negara dan rakyat.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan secara maya bersama kepimpinan baharu Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) bagi membincangkan mengenai pelbagai perkara antaranya Belanjawan 2022 semalam.

Katanya, ACCCIM telah mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi juga perlu menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani pandemik Covid-19.

Kerajaan juga digesa supaya lebih telus dan menyediakan statistik yang berkenaan, menambahbaik sistem kesihatan negara serta memperkukuhkan kemampuan negara untuk menghadapi pandemik.

Selain itu, ACCCIM mahu kerajaan memperkenalkan pelbagai subsidi atau bantuan; pengurangan dan pengecualian cukai bagi meringankan beban rakyat dan perusahaan serta lain-lain lagi. – MalaysiaGazette