Home Politik Ramai bakal hilang pekerjaan jika SOP masih cacamarba – Syed Saddiq

Ramai bakal hilang pekerjaan jika SOP masih cacamarba – Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar khuatir puluhan ribu pekerja hilang pekerjaan jika prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan Covid-19 oleh kerajaan masih berterusan cacamarba.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan panggung wayang boleh dibuka tetapi operasi gimnasium dan padang bola ditempat terbuka masih kekal ditutup.

Dakwa beliau, nampaknya kerajaan lebih pentingkan industri hiburan daripada industri sukan dan kesihatan rakyat.

“Saya bukan menentang pembukaan semula panggung wayang dan sektor hiburan.

“Dengan SOP yang betul, ia patut dialu-alukan. Tetapi tolong bantu pihak lain juga sebelum terlewat,” katanya.

Semalam perdana menteri berkata, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dos vaksin dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 9 September ini.

Kerajaan bersetuju melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif dan berharap ia dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerjanya.

Kelonggaran itu juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kedai besi buruk ..kedai barang -Barang lusuh Tak boleh buka…tapi panggung wayang boleh buka …macam Mana?? Pi ramai ramai tengok wayang boleh..Tak masuk akal. Kita pi kerja Tak.. boleh

Comments are closed.