Home Nasional Fasa 2 PPN: SJR Lebuh Raya Persekutuan hala KL tamat malam tadi

Fasa 2 PPN: SJR Lebuh Raya Persekutuan hala KL tamat malam tadi

Anggota polis mengemas peralatan pada malam terakhir sekatan jalan raya (SJR) selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 10 September ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur berhampiran gerbang Kota Darul Ehsan. Foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur berhampiran gerbang Kota Darul Ehsan yang beroperasi sejak 8 Mei lalu bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan malam tadi.

Ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas mula mengemas kon serta khemah untuk SJR sejak pukul 10.30 malam.

Salah seorang anggota polis yang ditemui MalaysiaGazette sempat berkongsi perasaan sedih pada malam terakhir SJR selepas lebih lima bulan ditugaskan di lokasi sama.

Anggota polis mengemas peralatan pada malam terakhir sekatan jalan raya (SJR) selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 10 September ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur berhampiran gerbang Kota Darul Ehsan. Foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2021.

Menurut anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields itu, pelbagai pengalaman dan ragam orang ramai dapat disaksikan sepanjang bertugas di lokasi tersebut memandangkan Lebuh Raya Persekutuan merupakan antara jalan paling sibuk.

Pada Rabu lalu, Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata, antara kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki fasa 2 sebelum ini seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara yang mana antaranya rentas daerah dibenarkan kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin. – MalaysiaGazette