KUALA LUMPUR – Hari Sukan Negara (HSN) 2021 akan disambut pada 9 Oktober ini dan berlangsung secara hibrid berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata strategi yang akan digunakan untuk pelaksanaan HSN 2021 adalah dengan memberi penekanan kepada penggunaan teknologi terkini.
Katanya, pelaksanaan HSN 2021 akan diadakan secara menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi dan akan turut membabitkan golongan profesional seperti ‘social influencer’ (personaliti media sosial), pemain industri, atlet dan ikon sukan bagi menarik pembabitan rakyat dalam aktiviti yang dianjurkan.
“Pandemik COVID-19 mempengaruhi pola dan cara kita berfikir, hidup bekerja dan bersukan.
“Pandemik ini tidak menghalang kita untuk terus kekal cergas dan mengamalkan gaya hidup aktif dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) AM Sektor Sukan dan Rekreasi yang sedang berkuatkuasa,” katanya ketika berucap pada majlis pra pelancaran HSN 2021 secara maya, semalam.
Tahun lalu, HSN yang menjadi acara tahunan sejak 2015 tidak dapat dilaksanakan susulan peningkatan kes Covid-19.
Majlis perasmian HSN 2021 dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Dapatan awal yang diperolehi menerusi 36 sesi libat urus VSN (Visi Sukan Negara) 2030 di peringkat negeri dan daerah yang dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara antaranya adalah untuk menjadikan sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup dan budaya rakyat Malaysia melalui penambahbaikan ekosistem yang lebih inklusif dan mesra pengguna,” kata Ahmad Faizal.
Pelbagai aktiviti menarik sudah dirancang bagi HSN 2021. Antaranya, MEGA Aerobic Chalenge, KBS Fit and Active, KBS Virtual Run, KBS Fitness Chalenge, KBS Myfit@Home dan KBS Freestyle Challenge. – MalaysiaGazette