Home Nasional Isu kesihatan mental petugas kesihatan perlu bincang di Parlimen – Anwar

Isu kesihatan mental petugas kesihatan perlu bincang di Parlimen – Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Isu kesihatan mental para petugas kesihatan perlu menjadi perkara utama dibincangkan dalam sidang Parlimen pada minggu depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah diteliti dan ia  harus diambilkira oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar.

“Kerajaan mesti memberi fokus kepada aspek pengurusan, persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan kakitangan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan dengan lebih berkesan.

“Saya meneliti laporan mengenai luahan para petugas kesihatan yang mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang bertugas memerangi wabak,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Anwar berkata, pengorbanan petugas kesihatan yang bertugas tanpa henti wajar mendapat pembelaan serta perhatian.

“Saya melihat keperluan untuk mempunyai pendekatan memerangi Covid-19 tidak hanya dalam strategi mengawal penularan tetapi harus termasuk tahap emosi dan kesihatan mental para petugas kesihatan,” katanya lagi.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan lebih 70,000 petugas Kementerian Kesihatan berdepan pelbagai gangguan emosi.

Sepanjang 20 bulan melawan pandemik Covid-19, petugas barisan hadapan itu mengalami masalah antaranya kemurungan, tekanan, kelesuan dan kecelaruan secara berterusan.

Antara lain, menerusi laporan sama, ada antara mereka begitu tertekan kerana tidak dapat pulang ke rumah unrtuk tempoh yang lama hingga mula mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan kopi berlebihan.

Ada juga yang kembali merokok akibat bebanan tugas akibat pandemik Covid-19 ini.- MalaysiaGazette