KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah memandu kenderaan berat tersebut di bawah pengaruh dadah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh Ardi Latif, 25, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.
Ardi didakwa memandu kenderaan tersebut di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, di mana tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut dan menyebabkan kecederaan kepada pemandu kereta milik Nik Adlee Saha Nik Ahmad Fauzi.
Tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Segambut Utara menghala ke Jalan Ipoh di sini pukul 2.40 petang pada 6 September lalu.
Pertuduhan itu dibacakan mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan maksimum RM50,000 dan juga hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh disabitkan kesalahannya.
Ppendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd. Rauf.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dikenakan syarat tambahan lesen memandu tertuduh ditahan sehingga pelupusan kes.
Majistret turut menetapkan 11 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam kejadian jam 2.40 petang pada 6 September lalu, lori tanah yang dipandu laju oleh lelaki tersebut hilang kawalan sebelum merempuh dua Perodua Myvi termasuk Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL yang sedang menunggu di lampu isyarat merah di Jalan Ipoh, dekat sini.
Rempuhan kuat itu mengakibatkan Perodua Myvi remuk teruk namun pemandunya berusia 45 tahun terselamat dengan kecederaan ringan pada bahagian muka.
Susulan kejadian itu, polis mengesahkan ujian air kencing pemandu lori terbabit positif dadah.- MalaysiaGazette