Home Pendapat ‘Taklif’ penulis dan pengkarya dalam ruang lingkup sastera Islam

‘Taklif’ penulis dan pengkarya dalam ruang lingkup sastera Islam

Gambar hiasan

ISLAM  adalah agama yang membawa rahmat dan petunjuk kepada manusia sekalian alam. Ia meliputi sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar perkara dalam aspek kehidupan manusia.

Petunjuk Islam jelas terbukti daripada risalah yang dibawa oleh pesuruh Allah, Nabi Muhammad S.A.W untuk membawa manusia ke arah pengabdian sepenuhnya kepada Allah S.W.T dalam segenap aspek kehidupan tanpa tercicir walaupun sedikit.

Ini terbukti bahawa salah satu prinsip Islam adalah “syumuliyyah“ yang bermaksud menyeluruh dan meliputi aspek tatacara  perhubungan sesama manusia dalam pelbagai perkara termasuklah seni ataupun sastera.

Sastera ataupun disebut dalam bahasa Arab iaitu " al-adab" tidak dapat diilhamkan dalam kekosongan sosial dan ini menunjukkan bahawa sastera mempunyai hubungan dengan ‘sesuatu’.

Oleh kerana karya sastera terhasil daripada idea yang kreatif maka ‘sesuatu’ itu ialah
manusia. Manusia itu pula ialah manusia terpilih yang menjiwai dan berperanan merakam serta menyuarakan rasa hati masyarakat melalui karya sastera.

Oleh demikian, karya sastera yang dituntut oleh Islam ialah karya yang berpaksikan kepada ilmu yang bersifat amar makruf dan nahi mungkar dan dapat mendidik jiwa manusia kepada mencintai kebenaran. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Fussilat yang bermaksud:

Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang salih, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”.

Konsep sastera Islam pada realitinya perlu difahami dengan jelas kerana sastera sangat
berhubung rapat dengan Islam kerana kedua-duanya merupakan keperluan dalam kehidupan kita sebagai manusia di muka bumi Allah ini. Sebagai keperluan dari kehidupan ia mesti diwujudkan bagi melengkapkan kehidupan itu.

Selain itu, sastera tidak semestinya terikat kepada aliran-aliran yang beku yang mana boleh mengabaikan nilai keindahan dalam hasil seni. Walaupun begitu ia mestilah mendukung cita-cita murni kemanusiaan dan kehidupan kerana tujuannya selaku
keperluan kehidupan adalah membawa pengertian yang menjaga nilai-nilai yang baik dalam kehidupan itu.

Konsep sastera Islam juga ialah gambaran-gambaran serta pernyataan tentang wujud semua kejadian yang ditinjau dan dinilai dari konsep keislaman kerana ia merupakan
ciptaan-ciptaan yang semestinya menyeluruhi semua segi daripada kehidupan dan menilai segi-segi tersebut menurut nilai-nilai keislaman.

Abd al-Hamid Buzuwaynah, seorang sarjana sastera Islam terkenal dari Timur Tengah
menyatakan bahawa sastera Islam tidak berkembang daripada konflik atau pertembungan
bersama sastera Jahiliyah kerana penyair Jahiliyah mengajak kepada elemen-elemen
kekabilahan dan semangat kekabilahan.

Ini berbeza dengan sastera Islam yang mana mesej utama yang disampaikan oleh penyair Islam adalah untuk menyebarkan pengajaran-pengajaran dan pendidikan yang berguna dalam Islam.

Dalam perkaitan yang lain yang mungkin boleh disamakan juga, acuan sastera Islam
berbeza dengan acuan sastera yang dibawa oleh barat. Barat mengagungkan acuan yang bersifat keduniaan dan jauh daripada roh dan prinsip Islam.

Sebagai contoh, elemen persetubuhan bukanlah perkara baru dalam mana-mana kesusasteraan malah dalam aliran realisme masalah ini hampir tidak boleh dielakkan kerana realisme mendukung cita-cita penjelmaan setiap detik peristiwa kehidupan dan setiap bentuk keadaan yang nyata ke dalam hasil sastera.

Bentuk manifestasi elemen persetubuhan adalah antara pelbagai detik peristiwa dan keadaan dalam bentuk yang nyata. Justeru, pemaparan babak-babak persetubuhan yang merangsang syahwat khalayak pembaca bukan merupakan ciri yang dikatakan sebagai sastera Islam bahkan jauh untuk mendidik jiwa para pembaca ke arah kebaikan dan sentiasa mengingatkan akan Tuhan.

Maka amat perlunya di sini peranan atau tanggungjawab penulis, pengkarya mahupun
golongan sasterawan untuk membawa masyarakat ke arah pemikiran yang positif dan
penambahan ilmu berasaskan kebenaran, bukan semata-mata bersandarkan kepada hawa nafsu.

Tuntutan taklif atau pematuhan ketika berkarya merupakan komponen penting yang perlu
difahami dan diaplikasikan oleh golongan sasterawan ke arah pembinaan etika masyarakat yang berakhlak mulia.

Jika tuntutan ini tidak diberi perhatian, maka akan berlaku keruntuhan moral dan akhlak serta mewujudkan golongan masyarakat yang mempunyai pemikiran yang rendah hasil daripada golongan penulis yang tidak menghiraukan aspek pematuhan dalam kegiatan sastera mereka.

Justeru, masyarakat kita perlu dididik dengan karya-karya yang bersifat mendidik jiwa
dan akhlak. Jadi tanggungjawab pastinya teralih kepada peranan penulis, pengkarya dan
sasterawan untuk menghasilkan naskhah yang bermutu dan mengikut cerminan Islam.

Moga niat kita untuk meng’islah’kan masyarakat akan dipermudahkanNya melalui dakwah dalam medan penulisan dan pengkaryaan yang berpaksikan kepada kesedaran ‘taklif’ sebagai khalifah Allah di muka bumi.

 

Dr Mohd Adi Amzar Muhammad Nawawi
Pensyarah Kanan, 
Program Bahasa Arab & Kesusasteraam Islam,
Fakulti Pengajian Bahasa Utama,
Universiti Sains Islam Malaysia