Home Politik Tidak henti-henti diugut, disogok – Syed Saddiq

Tidak henti-henti diugut, disogok – Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjalan keluar dari mahkamah selepas hadir untuk sebutan kes berhubung penyelewengan berjumlah lebih RM1 juta wang peruntukan sebuah parti politik di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2021.

 

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa beliau tidak henti-henti diugut dan ditawarkan pelbagai sogokan sepanjang tempoh hampir setahun sejak kes mahkamah membabitkannya ditunda.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau kini tidak sabar untuk membuktikan kes beliau di mahkamah.

“Berani kerana benar,” katanya menerusi hantaran di Facebook yang memberitahu hari ini adalah adalah hari sebutan kesnya pertama.

Syed Saddiq dituduh memindahkan wang sejumlah RM100,000 daripada akaun Maybank ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya antara 16 Jun dan 19 Jun 2018, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram terbabit.

Bulan lalu, pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen Johor Bahru bahawa mereka mahu memindahkan kes pengubahan wang haram itu memandangkan bakal saksinya adalah individu sama dengan kes pecah amanah yang turut dihadapi oleh Syed Saddiq.

Pada 22 Julai lalu, Syed Saddiq yang dihadapkan ke mahkamah, tidak mengaku bersalah atas dua tuduhan menyalah guna dana Armada berjumlah RM1.12 juta ketika menjadi ketua sayap pemuda Bersatu itu. – MalaysiaGazette