Home Dunia Vietnam buka semula Pulau Phu Quoc

Vietnam buka semula Pulau Phu Quoc

Pemandangan matahari terbenar di Pulau Phu Quoc, Vietnam. foto Reuters

HANOI – Vietnam merancang untuk membuka kembali Pulau Phu Quoc kepada pelancong asing mulai bulan depan, ketika negara itu mencari pelbagai kaedah untuk menghidupkan kembali ekonomi akibat sekatan pergerakan berpanjangan akibat wabak koronavirus.

Pulau itu, 10 kilometer di lepas pantai Kemboja diharapkan dapat dibuka untuk tempoh percubaan selama enam bulan, kata kerajaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Khamis.

Vietnam, yang menutup negara itu dari kemasukan semua pengunjung, kecuali menerima masuk warganegara dan pelabur, berjaya mengekang penularan virus tersebut.

Bagaimanapun, sejak tiga bulan kebelakangan ini, angka jangkitan melonjak semula disebabkan varian Delta.

“Wabak berpanjangan ini telah mengancam industri pelancongan,” kata Menteri Turisme dan Kebudayaan Vietnam, Nguyen Van Hung.

Pelancong yang sudah lengkap vaksinasi dan negatif dalam ujian koronavirus layak memasuki pulau tersebut.

Katanya, pelancong asing boleh terbang ke Pulau Phu Quoc dengan pesawat yang disewa atau komersial.

Ketibaan asing ke Vietnam merosot dari 18 juta pada tahun 2019, ketika pendapatan pelancongan adalah sebanyak AS$ 31 bilion, atau hampir 12% dari produk domestik kasarnya, menjadi 3.8 juta tahun lalu.

Pada masa yang sama, sekatan pergerakan sejak beberapa bulan kebelakangan ini mendorong syarikat pelancongan untuk menghentikan operasi.

Keluaran industri Ogos turun 7.4% dari tahun sebelumnya, sementara eksport susut 5.4% dan penjualan runcit menjunam 33.7%. – Reuters