KUALA LUMPUR – Orang ramai terutamanya netizen diminta berhenti daripada memberi sebarang ulasan atau komen berhubung isu melingkari jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini.
Delegasi teknikal sukan powerlifting yang bertugas di temasya berprestij di Jepun itu, Kamaruzaman Kadir khuatir situasi itu jika dibiarkan berlarutan, mampu menjejaskan emosi atlet berusia 31 tahun itu.
“Tidak dinafikan memang seronok buat ulasan sana sini mengenai isu hangat ini namun ia mampu memberi impak negatif kepada Muhammad Ziyad.
Pada 31 Ogos lepas, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia.
Muhammad Ziyad diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34 m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29 m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 3 Sept bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan Muhammad Ziyad di temasya berprestij itu.
Menurut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jawatankuasa itu akan berada di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penglibatan anggota bebas.
Kamaruzaman yang juga Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) berkata pengalaman beliau terlibat dalam temasya untuk golongan atlet seperti Muhammad Ziyad membantunya mengenali dengan lebih dekat kerenah dimiliki mereka.
“Mereka ini sensitif, jadi hormatilah dan jaga perasaan mereka dan juga keluarga,” tambahnya.
Sementara itu, Kamaruzaman yang mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai pembantu serta delegasi teknikal sukan powerlifting sejak edisi Athens 2004 itu juga menggesa orang ramai agar tidak membangkitkan mengenai isu insentif RM1 juta kerana berpendapat bahawa ia sangat sensitif untuk dibicarakan.
Insiden di Stadium Olimpik Tokyo itu menyaksikan Muhammad Ziyad terlepas ganjaran berjumlah RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.
Kamaruzaman turut berpendapat kontinjen Malaysia perlu mengambil iktibar terhadap kekhilafan yang berlaku dan berharap agar ia tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Beliau mengakui kesilapan sedemikian tidak dapat dielakkan dalam mana-mana temasya atau kejohanan besar dengan memberi contoh bahawa seorang atlet luar pernah mengalami situasi serupa dialami Muhammad Ziyad di Rio 2016, sehinggakan penyertaannya terpaksa dibatalkan gara-gara lewat ke bilik menunggu. – MalaysiaGazette