KUALA LUMPUR – Ketika dunia sedang berdepan cabaran untuk menentang wabak COVID-19, para kurator dan pendidik telah mula menggunakan kaedah baharu dalam penyampaian pameran – pameran dan pendidikan di muzium. Dengan berpaksikan hala tuju baharu ini, bagaimanakah Muzium dan Galeri Seni BNM (BNM MAG) pada masa hadapan?
Noreen Zulkepli, Pemangku Pengarah Jabatan Hospitaliti dan Muzium Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, “Halangan kepada pameran fizikal dan inisiatif pendidikan secara bersemuka seperti lawatan sekolah, lawatan berpandu dan program jangkauan luar disebabkan oleh pandemik merupakan suatu pengalaman yang asing kepada kita.
Walau bagaimanapun norma baharu ini telah memberi peluang kepada kami untuk meneroka cara baharu dan inovatif untuk berhubung dengan masyarakat luar.
BNM MAG merupakan antara muzium terawal di dalam negara yang memulakan pendigitalan pameran dan program pendidikan. Ianya telah tersedia di dalam talian pada ketika ini’
“Di samping itu, kejayaan kerjasama kami dengan pihak sekolah, kolej dan universiti dalam penganjuran pelbagai ceramah dan pertandingan, sangat memberangsangkan dan berjaya mencapai jangkauan yang lebih luas.
”Selain itu kami juga menawarkan beberapa program tahunan utama kami secara dalam talian. Walaupun berdepan dengan keadaan semasa yang mencabar, kami berhasrat untuk terus memacu ke hadapan dengan pameran dan program pendidikan yang dirancang serta bersedia untuk menyesuaikan diri dalam keadaan hibrid dimana ianya akan dilakukan secara fizikal dan juga maya,” tambah Noreen.
Dalam enam bulan pertama tahun ini, BNM MAG telah melancarkan tiga pameran
maya yang baharu, bazar seni maya dan pelbagai program serta pertandingan secara dalam talian.
Pameran-pameran maya:
1. Karya Logam: Seni Mata Wang
Umum sedia maklum bahawa BNM merupakan pengeluar tunggal mata wang kertas dan duit syiling Malaysia, tapi hanya segelintir yang mengetahui bahawa duit syiling telah wujud sejak lebih daripada 2,000 tahun dahulu. Sejarah disebalik duit syiling ini menarik sebagaimana sejarah tamadun-tamadun sepanjang zaman itu. Sebenarnya, ia memainkan peranan penting dalam kemajuan mata wang dan perdagangan dunia! Dalam pameran maya ini, pelawat berpeluang meneroka peranan sejarah duit syiling sebagai salah satu bentuk pembayaran dan mendalami perkembangan seni penghasilan duit syiling. Pelawat juga boleh mereka bentuk duit syilingnya sendiri serta berkongsi pendapat tentang masa depan wang logam ini yang berada di dalam dompet mereka. www.museum.bnm.gov.my/wom
2. SCARCITY: Utamakan Keutamaan
Semua pihak mempunyai peranan dalam kecemasan iklim! Pameran maya SCARCITY amat bermanfaat bagi sesiapa yang ingin mempelajari tentang kecemasan iklim yang sedang berlaku. Terokai kesan perubahan kecil dalam rutin harian anda bagi memelihara persekitaran kita dengan lebih baik dan ketahui mengapa isu perubahan iklim menjadi perhatian bank -bank pusat. Melalui pameran ini, pelawat juga boleh meneroka hubung kait antara perubahan iklim dan kekurangan (scarcity) melalui pelbagai medium seperti gambar, video dan permainan interaktif. Para pelawat juga dapat melihat video yang menerangkan sains di sebalik kecemasan iklim, melakukan aktiviti main peranan dan kajian kes tentang isu alam sekitar di seluruh dunia. http://museum.bnm.gov.my/scarcity/bm/
3. KERINGAT: Riwayat Pendahulu Negara
KERINGAT menggambarkan kronologi peristiwa yang membentuk perkembangan sosioekonomi Malaysia menerusi pelbagai karya yang mengagumkan. Pameran ini menampilkan 53 karya catan dan fotografi yang memaparkan usaha gigih para pendahulu negara dalam empat jenis pekerjaan semenjak era penjajahan di Tanah Melayu sehingga dekad 1980-an iaitu terutamanya menunjukkan sektor pertanian, perikanan, perlombongan dan perniagaan kecilan. Antara seniman terdahulu dalam pameran ini ialah: Yong Mun Sen (1896-1962, Sarawak), Abdullah Ariff (1904-1962, Pulau Pinang), Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1907-1979, Terengganu), Kuo Ju Ping (1908-1962, China), Chuah Thean Teng (1912-2008, China), Mohd Salehuddin (1914-tidak diketahui, Selangor), dan ramai lagi. www.museum.bnm.gov.my/forefathers
Bazar Seni Maya:
Bazar Seni Maya: JARI (Jaringan Akal Kreatif). Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Bazar Seni kami beberapa tahun sebelumnya, padakali ini BNM MAG menawarkan sesuatu yang lebih menarik iaitu bazar secara maya. JARI, menampilkan 30 orang bakat muda dengan pelbagai kemahiran dan menunjukkan gaya yang tersendiri.
Untuk pertama kali, karya seni yang dijual, dipamerkan secara maya di platform JARI dan juga saluran media sosial BNM MAG. Bagi memupuk penghargaan yang lebih baik, semua karya dijual pada harga RM1,500 dan ke bawah. JARI sedang berlangsung sekarang sehingga September 2021.
Cara-cara pembelian tersedia di laman web BNM MAG. Jangan lepaskan peluang memiliki karya-karya sementara ia masih ada! www.museumbnm.gov.my/jari
“Karya Logam, SCARCITY dan KERINGAT akan menjadi salah satu pameran maya
tetap BNM MAG. Nantikan pameran, program dan pertandingan secara maya yang
lebih menarik daripada BNM MAG dalam masa yang terdekat. Kami juga menggalakkan orang ramai untuk berkongsi topik atau idea baharu yang ingin
diketengahkan di platform BNM MAG. Orang ramai boleh menghubungi kami
melalui e-mel iaitu [email protected],” tambah Noreen lagi. – MalaysiaGazette