Home Nasional PKPD di empat lokaliti termasuk dua ladang di Pahang

PKPD di empat lokaliti termasuk dua ladang di Pahang

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kerja-kerja memasang kawat duri sekitar Flat Gugusan Semarak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 6 Ogos sehingga 19 Ogos ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Damansara, Selagor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokaliti di Pahang, Sabah dan Perak, selama dua minggu, mulai esok dan Isnin ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, ia membabitkan dua ladang terletak di Mukim Bebar, Pekan, Pahang iaitu Ladang Insanjaya dan Ladang Darabif.

“PKPD turut dikenakan di Taman Semarak Megah, Tawau, Sabah. Ketiga-tiga lokaliti ini akan menjalani tempoh PKPD selama dua minggu bermula Isnin ini hingga 26 September ini.

“Satu lagi lokaliti PKPD ialah di Kampung Ulu Groh, Kampar, Perak dan PKPD akan dilaksanakan mulai esok hingga 25 September ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rodzi memberitahu, kerajaan melaksanakan PKPD di empat lokaliti itu selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19.

Tambah beliau, kerajaan hari ini turut memutuskan untuk menamatkan PKPD lapan lokaliti terdiri daripada tiga lokaliti di Pahang dan lima lokaliti di Sabah, esok.

“Selain itu, PKPD Kampung Tuhau, Matunggong di Kudat, Sabah bermula sejak 16 Ogos lalu turut ditamatkan esok,” katanya.

PKPD empat lokaliti di Putatan, Sabah iaitu Taman Ketiau, Platinum Apartment, Taman Teluk Villa dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Serigai juga ditamatkan. – MalaysiaGazette