KUALA LUMPUR – Prospek untuk suku ketiga 2021 dijangka terus mencabar ekoran Fasa 1 yang berpanjangan bagi beberapa negeri seperti Selangor yang merupakan penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Bagaimanapun, prestasi itu akan ditampung oleh kelonggaran sekatan bagi rakyat yang telah lengkap vaksinasi serta negeri-negeri yang telah berjaya beralih ke Fasa 2 dan 3.
Pelbagai faktor pertumbuhan terus mendokong asas ekonomi Malaysia yang kekal berdaya tahan walaupun berhadapan situasi yang mencabar.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menjangkakan prospek suku keempat akan lebih cerah kerana kadar vaksinasi yang terus dipertingkatkan akan membolehkan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi.
Ini akan meningkatkan prospek peningkatan penggunaan dari permintaan terpendam isi rumah dan perniagaan.
Jelasnya, faktor lain yang akan mendorong prospek pertumbuhan Malaysia termasuklah permintaan luaran yang lebih memberangsangkan (bagi produk seperti elektrik dan elektronik (E&E), dan hidrokarbon); kenaikan harga komoditi, serta pelaburan yang berterusan bagi projek infrastruktur berskala besar dengan kesan pengganda yang tinggi.
”Semua faktor ini akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2021, yang dijangka berada di sekitar 3.0% hingga 4.0%, seterusnya akan mendorong aktiviti di pasaran modal Malaysia pada suku keempat 2021.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 pada penghujung September dan Bajet 2022 pada hujung Oktober akan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai hala tuju dasar kerajaan dan akan membuka jalan kepada pemulihan, pertumbuhan dan penyusunan semula sosio-ekonomi bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Kementerian menjangkakan momentum pemulihan pada suku keempat tahun ini akan diteruskan pada tahun hadapan, yang mana faktor kepada pertumbuhan negara akan memanfaatkan pertumbuhan KDNK 2022 Malaysia, yang diunjurkan akan berada pada paras 6.0% oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan 5.0% oleh Bank Dunia. – MalaysiaGazette