KUANTAN – Seramai enam lelaki digelar ‘bapok’ yang memakai dan berdandan menyerupai wanita di sekitar Lorong Wong Ah Jang dan Lorong Pasar Besar Kuantan diberkas dalam Op Pasar.
Operasi itu menjawab kebimbangan warganet menerusi media sosial tentang aktiviti tidak bermoral yang dilihat semakin berleluasa di pusat bandar raya ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, Op Pasar yang dijalankan secara bersepadu dilakukan pada petang tadi mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Imigresen Pahang.
“Dengan tangkapan ini diharapkan tiada lagi kegiatan atau aktiviti bapok di kawasan tersebut yang boleh menjatuhkan imej Majlis Bandaraya Kuantan di kaca mata masyarakat.
“Operasi secara bersepadu melibatkan enam pegawai dan 30 anggota di kawasan sasaran di Jalan Pasar dan Jalan Wong Ah Jang, yang dilaporkan menjadi lorong tumpuan lelaki berpakaian wanita.
“Seramai enam orang yang ditangkap melibatkan seorang lelaki warga tempatan dan lima lagi warga Indonesia berusia anata 22 hingga 36 tahun.
Lima lelaki asing berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan seorang lelaki warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam.
Bagi kesalahan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63, tiada dokumen pengenalan diri yang sah, boleh dikenakan hukuman jika disabit kesalahan boleh didenda RM 10,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan.
Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pula memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM 10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan jika tinggal lebih masa di Malaysia.
Manakala denda RM100 bagi kesalahan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam.
“Ada berlaku insiden kejar megejar, pelbagai cara dilakukan oleh suspek, namun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang proses tangkapan.
“Sikap masyarakat wajar diberi pujian kerana sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyalurkan apa jua maklumat dan kesalahan jenayah,” katanya.
Operasi tamat jam 7 malam tadi turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Negeri Pahang. – MalaysiaGazette