Home Sukan Dua gol Ronaldo ‘meriahkan’ Old Trafford

Dua gol Ronaldo ‘meriahkan’ Old Trafford

Ronaldo meraikan gol keduanya dengan aksi Siuuu di hadapan penyokong sebelum menang 4-1 menentang Newcastle dalam aksi EPL di Old Trafford. Foto Kredit: REUTERS/Phil Noble

LONDON – Perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di Old Trafford antara Manchester United dan Newcastle United malam tadi menjadi kenangan manis kepada peminat Cristiano Ronaldo.

Kepulangan Ronaldo yang dianggap ‘anak kesayangan’ Theatre of Dreams ke Old Trafford menyebabkan aura dalam stadium bertukar meriah luar biasa berbanding sebelum ini.

Dari minit pertama kemunculan Ronaldo dengan menyarung jersi ikonik nombor 7 sehinggalah perlawanan 90 minit tamat, penyokong di stadium yang mengenakan jersi dengan nama Ronaldo, menyanyikan lagu ‘Viva Ronaldo, running down the wing, hear United sing, Viva Ronaldo’.

Malah bintang bola sepak itu menghiasi muka hadapan majoriti media sukan di seluruh dunia hari ini kerana aksinya bersama kelab asal selain fokus penyokong kelab lain beralih ke atasnya.

“Saya pada mulanya berasa gugup dan takut semasa aksi 30 minit pertama di atas padang kerana majoriti penonton asyik menyanyikan lagu Viva Ronaldo dan menantikan gol saya.

“Ia sebenarnya mengingatkan saya betapa istimewa kepulangan saya ke kelab ini yang dikemudi bekas rakan sepasukan saya (Ole Gunnar Solskjaer) sebelum dapat menjaringkan dua gol untuk memberi peringatan kepada semua kenapa saya kembali ke kelab ini dan kenapa Old Trafford terkenal sebagai Theatre of Dreams,” katanya selepas tamat perlawanan yang memihak kepada Red Devils dengan keputusan 4-1.

Rakan senegaranya dari Portugal, Bruno Fernandes membuka gol ketiga dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti menyebabkan penjaga gol Magpies gagal menepis bola tersebut sebelum Jesse Lingard menutup tirai dengan gol keempat dan juga mengesahkan tiga mata penuh untuk meletakkan skuad Ole Gunnar Solskjaer mengungguli carta.

Gol kedua Ronaldo dalam penampilan keduanya setelah pulang ke Old Trafford selepas 12 tahun memeriahkan penyokong dalam aksi menang menentang Newcastle di Old Trafford malam tadi.-Kredit Reuters.

Gol penyamaan pelawat serba sedikit menakutkan penyokong yang sedang berkhayal dengan penampilan kedua Ronaldo bersama kelabnya selepas 12 tahun.

Namun Ronaldo ternyata tidak mengecewakan harapan tinggi penyokongnya apabila berjaya meletakkan semula Man United dihadapan dengan gol keduanya pada minit ke-62 hasil hantaran cantik Luke Shaw.

Dalam perlawanan sama Paul Pogba berjaya menyediakan hantaran gol ketujuh kariernya dalam empat perlawanan EPL musim ini.

Cara Ronaldo meraikan gol dengan aksi melompat ke udara menyebabkan penyokongnya bertambah teruja.

Pemain berusia 36 tahun itu mempamerkan aksi bertenaga sekaligus membuktikan dia masih tidak hilang sengat.

Walaupun pemain itu meninggalkan padang selepas perlawanan, penyokong di stadium terus menyanyikan lagu Viva Ronaldo dan lagu itu turut dimainkan dalam pembesar suara stadium itu.

Gandingan Ronaldo dengan rakan senegara Bruno dan juga dari Real Madrid, Raphael Varane menjadikan Man United berstatus kelab lima bintang.

Ronaldo kembali selepas lebih sedekad menakluk Eropah untuk mewakili sesuatu yang United hilang sejak tahun 2013 iaitu kegemilangannya tanpa gelaran EPL selama ini untuk meletakkan pasukannya sebagai pesaing terkuat EPL dan Eropah musim ini.

Bruno yang juga rakan sepasukannya menafikan dakwaan kehadiran Ronaldo akan menggugat kedudukan diri dan pemain muda lain dalam pasukan sebaliknya menegaskan Ronaldo akan membantu pemain dalam pasukan membangun bersama untuk mencipta kejayaan sebagai sepasukan.

Ronaldo meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid selepas menjulang EPL dan Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2008/2009. -Dailymail.com