KUALA LUMPUR – Sebanyak dua lokaliti masing-masing satu di Pahang dan Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) selama 14 hari berkuatkuasa 14 hingga 27 September 2021.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saat berkata, antara dua lokaliti baharu itu ialah Rancangan Rumah Murah (RRM), Kampung Kolek, Sg.Lembing, Kuantan Pahang dan Perumahan IOI Plantations Unico Oil Mill Sdn Bhd, Segama, Lahad Datu, Sabah.
“PKPD di dua lokaliti tersebut dibuat setelah MKN meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.
“Semua prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, MKN juga melanjutkan satu PKPD di Johor yang dijadualkan tamat tempoh pelaksanaannya pada 13 September 2021 selama tujuh hari lagi, berkuatkuasa 14 hingga 20 September ini.
“PKPD Kampung Nelayan Benut, Mukim Sungai Pinggan, Pontian, Johor akan dilanjutkan dari 14 hingga 20 September 2021,” katanya.
Sementara itu, MKN juga akan menamatkan pelaksanaan PKPD di tiga lokaliti di Sabah yang mula menjalani perintah itu pada 17 dan 31 Ogos 2021.
“PKPD di Taman Megah Jaya dan Kampung Bukit Gemuk di Tawau serta Kampung Nasakot, Ranau, Sabah akan ditamatkan pada 13 September 2021,” katanya lagi. – MalaysiaGazette