Home Utama Dua remaja maut dilanggar pacuan empat roda lawan arus

Dua remaja maut dilanggar pacuan empat roda lawan arus

KUALA LUMPUR – Dua remaja maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan (arah Klang – Kuala Lumpur) Shah Alam awal pagi tadi.

Kemalangan telah dilaporkan berlaku pukul 2.09 pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki datang dari arah Kuala Lumpur ke Klang secara melawan arus.

“Selepas tiba di lokasi kejadian kereta pikap itu bertembung dengan kereta jenis Proton Wira yang dipandu dari Klang menuju ke Kuala Lumpur.

“Akibat pertembungan itu, dua orang mangsa yang berada di dalam kenderaan Wira cedera parah dan maut dalam kemalangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang pemandu wanita remaja kereta proton Wira berusia 18 tahun dan rakan lelakinya berusia 19 tahun maut selepas bertembung dengan Mitsubishi Trition yang dipandu lawan arus oleh pemandu di bawah pengaruh dadah ganja dalam kejadian 2 pagi tadi.

Tambah Baharudin, kedua-dua mangsa melibatkan seorangĀ  gadis remaja yang merupakan pemandu kereta berusia 18 tahun dan penumpangnya remaja lelaki berusia 19 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam untuk tindakan bedah siasat bagi mencari punca kematian.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41 APJ 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahaya.

Kemalangan maut membabitkan sebuah kereta Mitsubishi Trition yang dipandu bawah pengaruh ganja dan proton wira mengakibatkan dua remaja maut di tempat kejadian yang berlaku jam 2 pagi tadi di Lebuhraya Persekutuan hari ini.

“Siasatan juga setakat ini kita tidak pasti apa hubungan kedua-dua mangsa kerana waris juga tidak dapat memberikan pengesahan, mereka berkemungkinan rakan kenalan.

“Manakala polis berjaya menahan pemandu Mitsubishi Triton yang melawan arus dan dilibatkan dalam ujian air kencing dan hasil keputusan mengesahkan pemandu pikap itu didapati positif dadah jenis ganja.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk perintah reman dan kini direman selama seminggu sehingga 17 September ini untuk membantu siasatan,” tegasnya.

Beliau meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Bin Suhiami di talian 01131215697.-MalaysiaGazette