TEHRAN – Pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei memuji ‘misi penting tentera laut’ yang melibatkan dua kapal perang Iran belayar di Lautan Atlantik untuk kali pertama, ketika ketegangan dengan barat meningkat.
Khamenei menyifatkan kepulangan kapal Makran dan kapal pemusnah, Sahand yang melakukan pelayaran selama empat bulan sebagai ‘berwibawa’, lapor agensi Anadolu.
Kapal tersebut yang memulakan pelayaran dari Bandar Abbas pada Mei lalu belayar sejauh 45,000 kilometer menerusi utara Lautan Hindi, utara dan selatan Lautan Atlantik dan pelabuhan Petersburg di Rusia di mana ia menyertai perarakan tentera laut pada Jun lalu.
Sebelum ini, angkatan tentera laut Iran melaksanakan misi ke Lautan Hindi, Lautan Pasifik dan Laut Mediterranean.
Ini merupakan kali pertama kapal perang Iran berlayar di Lautan Altantik.
Pada Jun lalu sejurus selepas kapal perang itu belajar di Lautan Atlantik, pemerintah tentera Iran, Abdolrahim Mousavi, menyifatkannya sebagai ‘perubahan besar’
Seorang lagi pegawai tinggi tentera, Habibollah Sayyari berkata, misi tersebut telah meningkatkan ‘strategi mendalam’ Iran di lautan dan menyifatkannya sebagai ‘misi paling mencabar dan paling panjang’.
Pada awal minggu ini, ketua tentera laut baharu Iran, Shahram Irani berkata, Tehran mahu mengekalkan kehadirannya di perairan antarabangsa ‘bagi menjamin keselamtan kapal kargo dan kapal tangkinya’.
Berikutan itu, misi tentera laut itu telah meningkatkan bimbangan barat yang mana ada antaranya khuatir kapal tersebut mungkin membawa senjata ke Venezuela.
“Kami memantau kerahan dua kapal ini,” kata jurucakap Pentagon, John Kirby pada Jun lalu.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin turut melahirkan kebimbangan terhadap prospek kapal Iran mengedarkan senjata di Amerika Latin.
Tehran dan Caracas berhadapan dengan sekatan AS yang menghalang perdagangan minyak kedua-dua buah negara itu.
Beberapa kapal negara tersebut telah dirampas di perairan antarabangsa pada masa lalu. – Agensi