Home Seni Hidup Orang ramai ‘serbu’ Pantai Remis

Orang ramai ‘serbu’ Pantai Remis

Orang ramai meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga dengan melakukan aktiviti riadah selepas kerajaan membenarkan aktiviti tersebut dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Remis, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2021.

JERAM – Kawasan rekreasi, peranginan dan pelancongan khususnya di luar bandar menjadi tumpuan warga kota sejak Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) Jumaat lalu.

Kebanyakan warga kota lebih gemar memilih kawasan perkelahan berbanding taman reaksi untuk beriadah bersama keluarga khususnya anak-anak yang lama terkurung di dalam rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Fasa Pertama PPN sebelum ini.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati, Pantai Remis di Kuala Selangor menjadi tumpuan orang ramai sama ada untuk bermandi-manda, berkelah, berkhemah, memancing mahu pun barbeku di tepi pantai bersama ahli keluarga.

Orang ramai meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga dengan melakukan aktiviti riadah selepas kerajaan membenarkan aktiviti tersebut dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Remis, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2021.

Lebih mengejutkan apabila Pantai Remis yang terletak 20 kilometer arah selatan Kuala Selangor di Sungai Sembilang di sini diserbu orang ramai sehingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan luar biasa lebih satu kilometer dari Jalan Klang-Teluk Intan.

Menurut Hairunizam Hadithon, 50, orang ramai mengambil kesempatan hujung minggu dan cuti persekolahan untuk meluangkan masa di pantai itu bersama ahli keluarga malah keadaan itu sudah diduga kerana lebih 90 hari rakyat terpaksa berkurung di rumah sebelum ini.

Hairulnizam Hadithon, Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2021.

“Alhamdulillah, kita merasakan satu nikmat yang diberikan sebab selama ini kita Fasa Pertama PPN, terkurung dalam rumah, tak boleh buat aktiviti riadah. Dengan Fasa Kedua ini, ramai ambil kesempatan untuk keluar bersama keluarga, mungkin menghilangkan tekanan duduk di rumah.

“Kalau duduk tepi pantai ini kita boleh dapat caj positif, bagus untuk badan dan minda kita. Kita doakan selepas ini lebih banyak kelonggaran diberi mungkin rentas negeri, sudah lama tak balik kampung, rindu kat emak dan adik-beradik lain.

“Insya-Allah kalau ikut perkembangan kes semakin menurun, mungkin kita boleh rentas negeri. Anak-anak pun masing-masing belajar secara dalam talian, ada anak belajar di Terengganu pun tak boleh balik sana, kita tunggu fasa seterusnya Insya-Allah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pantai Remis, hari ini.

Hairunizam berkata, walaupun kerajaan memberi beberapa kelonggaran kepada rakyat termasuk rentas daerah namun prosedur operasi standard (SOP) tetapi menjadi keutamaan sewaktu berada di luar rumah.

“Kalau abang tengok SOP kalau pergi pasar raya, semua memang ikut, rakyat Malaysia patuh kepada SOP ini. Cuma masa riadah ada yang tak pakai pelitup muka, kerana aktiviti riadah akan mengganggu pernafasan, itu yang tak pakai tu.

Orang ramai meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga dengan melakukan aktiviti riadah selepas kerajaan membenarkan aktiviti tersebut dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Remis, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2021.

“Kalau boleh pakai pelitup muka supaya tak berlaku penularan Covid-19, kita dapat elak selagi mampu. Tempat makan pun Alhamdulillah sudah boleh dine in, itu pun satu nikmat, sudah jemu makan di rumah saja, rindu nak makan kat kedai mamak.

“Cuma kena ikut SOP kalau pergi kedai makan atau mana-mana,” katanya.

Bagi  peniaga, Rosnah Jantan, 53, dari Klang, kehadiran ratusan pengunjung ke Pantai Remis bagaikan satu rahmat dan peluang kepadanya untuk menjana ekonomi sekeluarga yang kini sudah bersara dalam sektor perkhidmatan swasta.

Rosnah Jantan. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2021.

“Setakat ini kalau berniaga pada hari orang dapat gaji, dapatlah 10 hingga 15 paket kambing perap terjual. Kalau dekat sini, habis kambing saya, ada yang bawa balik, ada juga bakar tepi pantai.

“Sudah tiga kali saya dan suami datang, memang ramai orang datang ke sini, lebih-lebih lagi pada hujung minggu, ramai juga membeli jualan saya nak buat barbeku di tepi pantai,” katanya.

Menurut Shida Sharip, 40, dari Klang, hari ini merupakan kali pertama dia bersama keluarga dapat keluar berkelah di tepi pantai selepas kerajaan melonggarkan SOP pergerakan rentas daerah sejak Jumaat lepas.

Shida Sharip. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2021.

“Kebetulan hari ini cuti, itu yang datang hari ini, tak rancang pun nak datang sini sebab dekat dengan rumah.

“Seronok dapat keluar rumah, sebenarnya bawa anak-anak, keluar pun kena ikut SOP. Risau memang risau, kesian kat anak-anak, asyik belajar dalam rumah, sesekali kita keluar,bukan selalu keluar, seminggu sekali boleh la.

“Emak bapa boleh juga keluar pergi kedai, anak-anak asyik duduk di rumah, kesian juga. Sepanjang PKP memang tak bawa keluar pun. Kami ikut undang-undang, kalau keluar berdua,” katanya.

Sementara itu, Rozfazillaa Shamsul Bahri, 40, dari Kuala Selangor pula berkata, kehadirannya ke Pantai Remis untuk bertemu dengan rakan-rakan sekolah namun dia masih tidak berani untuk membawa anak-anak bersama.

Rozfazillaa Shamsul Bahri. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2021.

“Saya dan kawan-kawan, reunion kecil-kecilan….saya lama tak jumpa kawan sekolah, sejak duduk jauh, bila ada peluang macam ini baru boleh jumpa kawan. Tak berani nak bawa anak, mereka pun sudah biasa (duduk rumah), kalau ajak pun mereka tak nak, mereka ada aktiviti sendiri.

“Sebab risau kes tinggi, tak bawa anak-anak, saya keluar pun single saja. Sekarang dah boleh keluar, itu yang baru keluar.

“Saya tak berani ambil risiko, sekali-sekala keluar tempat macam ini okay lah, datang ke tempat terbuka lebih bagus daripada pergi ke kompleks beli-belah yang tertutup dan sukar nak kawal penularan Covid-19.

“Sebelum ini memang tak pernah bawa anak ke tempat tertutup, saya sendiri pun sudah lama tak pergi ke kompleks beli-belah, kalau pergi pun ke pasar raya untuk beli barang dapur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. 1 je la nk pesan kt korang yg ke pantai remis @ mne2 tempat riadah,kalau kes naik lg esok lusa,n terpaksa duduk rumah kena lock down skali lg,tolong sgt2 jgn ckp kerajaan yg gagal ye…aku da penat nk ngadap org bodoh mcm korang nie yg bpikir guna lutut,kerajaan bg kelonggaran kena la bjaga2,kena la jaga jugak sesihatan utk keselamatan diri sendiri…
    p/s : bodoh 2 simpan sikit buat wasiat,jgn abiskan semua

Comments are closed.