KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM) terus mengukir kecemerlangan di pentas nasional dengan merangkul 2 anugerah pada National Energy Awards (NEA) 2021 anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Pengumuman pemenang NEA 2021 yang dirasmikan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam menyaksikan UTeM memenangi kategori Pengurusan Tenaga (Energy Management in Large Building) dan Anugerah Khas (Institute of Higher Leaning).
Prof. Ir Dr. Ghazali Omar yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM berkata, pencapaian ini merupakan kejayaan berganda buat UTeM iaitu memenangi 2 anugerah dan pada masa yang sama menjadi wakil Malaysia ke ASEAN Energy Awards (AEA) 2021 yang dihoskan oleh negara Brunei Darussalam pada bulan September ini juga.
Jelas beliau, UTeM mempunyai keunikan tersendiri kerana pengurusan tertinggi dan segenap peringkat pelaksanaan pengurusan tenaga lestari mempamerkan komitmen yang jitu dan konsisten.
Katanya, menyentuh mengenai faktor kejayaan UTeM antara lain adalah adaptasi program Energy Management Gold Standard di bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS).
“Di samping itu, perancangan pengurusan tenaga yang jelas dan usaha bersama seluruh warga UTeM dalam menjalankan aktiviti kecekapan tenaga dan di tambah pula kecemerlangan koordinasi di semua pejabat di bawah Pejabat Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) terutama pasukan Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar (KPKA) serta Pejabat Pengurusan Fasiliti (PPF) UTeM dan turut di bantu oleh Polis Bantuan dari Pejabat Keselamatan.
Mengulas mengenai impak kemenangan pula, Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) Prof Madya Ts. Mohd Rahimi Yusoff berkata, UTeM merupakan universiti pertama yang memenangi anugerah untuk kategori yang dipertandingkan ini sejak tahun 2018 lalu dan kejayaan ini juga meletakkan UTeM di landasan yang terbaik bagi mencapai Objektif Strategik 6 iaitu Smart dan Dynamic Campus di dalam Seven Strategic Goals (SSG) UTeM.
“UTeM turut menyerlahkan inovasi di setiap bangunan dan Pusat Tanggungjawab (PTj) dengan memperkenalkan konsep Matriks Pengurusan Tenaga-PTj (MaPTeP),” ujarnya.
Ujarnya lagi, UTeM turut mempunyai sistem IoT Energy Monitoring serta Building Management System (BMS) untuk mengawal secara menyeluruh penggunaan tenaga yang optimal terutama kepada penggunaan sistem penghawa dingin yang lebih cekap dan ini membuktikan UTeM cemerlang menjalankan pengurusan tenaga yang lestari dalam membantu negara mengurangkan pengeluaran CO2 dan menjayakan National Energy Efficiency Action Plan (NEEAP:2016-2025).
Mengulas lanjut beliau berkata, kejayaan ini turut memberi peluang kepada UTeM untuk meluaskan kerjasama strategik dengan organisasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa terutama penyelidikan bagi membantu dunia merealisasikan Sustainable Development Goal (SDG).
NEA 2021 merupakan antara anugerah yang paling berprestij di Malaysia yang mengiktiraf pencapaian dan amalan terbaik institusi dan organisasi tempatan dalam memacu agenda tenaga lestari.- MalaysiaGazette