Home Seni Hidup Agong ‘jual’ tiga pantun sebagai nasihat

Agong ‘jual’ tiga pantun sebagai nasihat

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof (dua kiri) berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 18 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  menutup titah ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 dengan ‘menjual’ tiga rangkap pantun kepada Ahli Dewan Rakyat.

Baginda juga sempat berseloroh bahawa pantun berbentuk nasihat tidak dapat dijawab.

Selepas menutup titah ucapan, Seri Baginda berjenaka lagi kepada sesiapa yang ingin membalas pantun itu perlu menunggu tahun hadapan.

Tiga rangkap pantun tanda pesanan ikhlas Seri Paduka adalah:

Dari Segamat ke Kota Tinggi,
Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
Kepada Yang Berhormat ikhlas berbakti,
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.

Rempah halia digaul diuli,
Buat ramuan nasi kebuli;
Sumpah setia ketaatan diberi,
Pertahankan negara dan ibu pertiwi.

Pantun adalah sejenis puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman berzaman lagi.
Mengikut sejarah, pantun wujud sejak zaman masyarakat Melayu tidak tahu membaca dan menulis lagi. Pantun dicipta sebagai suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang ataupun mengenai sesuatu perkara di samping bertujuan untuk menyindir, berjenaka dan memberi nasihat serta untuk bersuka-suka. – MalaysiaGazette