KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong berkongsi pengalaman baginda menerima ratusan pucuk surat yang diutus oleh rakyat di negara ini gara-gara pandemik Covid-19.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberitahu surat tersebut mengandungi rintihan penuh duka rakyat yang mengharapkan seribu harapan.
Seri Paduka bertitah lagi, rakyat jelata juga mahukan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.
“Negara dan rakyat beta telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi. Terlalu ramai rakyat beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat beta yang telah kehilangan sumber rezeki.
“Nasihat beta kepada semua ahli yang berhormat, jangan sama-sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
“Justeru, beta menyeru kepada ahli-ahli yang berhormat sekalian, untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara tanah tumpahnya darah kita,” titah baginda.
Seri Padukan bertitah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di sini hari ini. – MalaysiaGazette