KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru kepada semua ahli Parlimen tidak mengira parti politik untuk bersama-sama merapatkan saf demi memulihkan semula negara dan kehidupan rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah ketika memulakan persidangan Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas hari ini.
“Alhamdulillah, lafaz syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Parlimen dapat memulakan persidangan Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas, bermula hari ini sehingga 12 Oktober 2021.
“Saya berharap persidangan ini dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, titah Seri Paduka Baginda mengenai demokrasi musyawarah merupakan semangat yang dibawa dalam Keluarga Malaysia.
“Keluarga Malaysia menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan untuk mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan,” katanya.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda menitahkan semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.- MalaysiaGazette